Bahasa

1.5 juta kad diskaun KADS1M akan diberi untuk kemudahan pelajar

Oleh Nomy Nozwir
September 13, 2012

GOMBAK, 13 Sept — 1.5 juta kad diskaun siswa 1Malaysia (KADS1M) akan diberikan kepada seluruh pelajar-pelajar institut pengajian tinggi seluruh Malaysia, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kad diskaun itu boleh digunakan untuk 231 syarikat yang mewakili 2,434 cawangan yang menyertai kad diskaun itu, seluruh negara.

Menurut Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, diskaun sehingga 60 peratus untuk barangan seperti buku, alat tulis, cermin mata, pengangkutan, makanan, barangan IT dan barangan sukan.

Muhyiddin berkata demikian ketika menghadiri rumah terbuka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak, hari ini.

“Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan kad-kad diskaun ini kepada pelajar secara percuma,” katanya.

“Saya gembira apabila UIAM mengambil inisiatif kerajaan dengan serius, dan 24,911 kad diskaun akan diberikan kepada pelajar UIAM.”

Turut hadir dalam rumah terbuka UIAM ialah Datuk Hajah Rohani Abdul Karim, timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, dan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, presiden UIAM.

Selain itu, Muhyiddin melancarkan Komuniti UIAM Mesra Alam Sekitar (Eco Friendly IIUM Community) serta memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar Syria yang belajar di universiti situ.

“Islam adalah agama yang mahu umatnya bersatu padu dan membantu sesiapa yang memerlukan,” kata Muhyiddin.

“Sempena bulan Syawal yang mulia, UIAM telah mengumpulkan dana untuk membantu pelajar luar negaranya yang mengalami kesukaran kewangan apabila belajar di sini.”

KADS1M diwujudkan oleh kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengurangkan kos sara hidup sebagai pelajar.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi