Bahasa

10 penceroboh di Lahad Datu serah diri, kata kedutaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Sepuluh penceroboh Filipina di Lahad Datu dilaporkan menyerah diri selepas pertempuran bersenjata berlaku antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh berkenaan, kata Kedutaan Malaysia di Filipina.

ABS-CBN News melaporkan memetik Duta Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim berkata pencerobohan tersebut telah berakhir.

“Kedutaan berkata pencerobohan telah berakhir,” kata jurucakap Kementerian Luar Filipina, Raul Hernandez.

Portal The Philippine Daily Inquirer melaporkan jurucakap Kementerian Hubungan Luar Filipina Raul Hernandez hari ini berkata Mohammad Zamri telah bertemu dengan pihak Setiausaha Kementerian Hubungan Luar Albert Del Rosario di Manila untuk memaklumkan perkara itu.

Hernandez dilaporkan berkata kerajaan Filipina masih lagi perlu mengesahkan kenyataan jurucakap penceroboh berkenaan bahawa 10 anggotanya terbunuh.

Dua anggota komando polis Malaysia turut dilaporkan terbunuh selepas diserang menggunakan mortar. Pemilik rumah yang dirampas turut dilaporkan telah dibunuh menurut Mohammad Zamri, menjadikan jumlah kematian setakat ini 13 orang.

Empat penceroboh dan empat anggota polis turut dilaporkan cedera.

Dua penceroboh dilaporkan melarikan diri ke kawasan laut, menurut laporan ABN-CBN.

Sementara itu Del Rosario meminta agar kumpulan penceroboh tersebut diberikan akses supaya kerajaan Filipina dapat membekalkan rawatan perubatan, kata Hernandez.

“Setiausaha Del Rosario turut meminta jasa baik agar kapal tentera laut Filipina AT-296 BRP Tagbuana dibenarkan memasuki Lahad Datu untuk membolehkan pegawai perubatan Filipina memasuki kawasan tersebut dan merawat mereka yang tercedera dan membawa pulang baki penceroboh kepangkuan keluarga dan kampung halaman mereka, kata Hernandez, dipetik ABS-CBN.

Kawasan Pantai Timur Sabah diletakkan dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Ketua Polis Semporna Deputy Supt Firdaus Francis Abdullah dilaporkan berkata kepada The Star Online pihak polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bersama dengan pasukan keselamatan lain untuk tindakan lanjut.

Firdaus dilaporkan berkata penduduk di sana agar bertenang kerana ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Banyak pihak yang risau ia akan merebak ke Semporna, namun sebenarnya tidak perlu dibimbangkan kerana penceroboh Sulu telah disekat ke Lahad Datu,” katanya.

Semporna dan Lahad Datu, yang kedua-duanya terletak di kawasan pantai timur Sabah telah menerima serangan pada 1980an dan 1990an, terutamanya daripada lanun dari Selatan Filipina, lapor portal tersebut.

Lahad Datu, yang berada dalam lingkungan 130km jaraknya dari lokasi pertempuran turut digambarkan sebagai “pekan berhantu”, dengan semua kedai di pusat bandar ditutup dan anggota tentera dilihat mengadakan kawalan di beberapa kawasan termasuk sekolah dan hospital.

Empat turut dilaporkan cedera, termasuk Puteri Jaycel Kiram, anak perempuan kepada Sultan Sulu Jamallul Kiram III (gambar), memetik laporan Philippine Daily Inquirer.

Dianggarkan 180 pemberontak Filipina, termasuk 30 lelaki bersenjata menceroboh Sabah pada 9 Feburai lalu dan enggan beredar, walaupun telah diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.

Mereka menegaskan lebih rela mati di Sabah dan tidak akan menyerah kalah.

Penceroboh berkenaan mula memberontak apabila beberapa pengikut Agbimuddin mahu pulang ke Filipina, menurut portal berita The Star Online Isnin lalu.

Kumpulan tersebut sebelum ini mengatakan tidak mahu pulang ke Sabah kerana mereka “adalah warga Kesultanan Sulu.”

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.