Bahasa

11 samun kereta mewah RM1 juta tumpas

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Taktik licik 11 lelaki yang menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta tersebut di kawasan sunyi, tumpas selepas polis menahan mereka serta merampas lapan kereta mewah bernilai RM1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.

“Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan sengaja melanggar kereta mangsa di kawasan sunyi sebelum melarikan kereta serta barangan berharga mereka. Mangsa pula akan ditinggalkan di tepi jalan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya daripada tangkapan itu, polis turut menjumpai parang, kayu dan pistol yang mungkin digunakan suspek sebagai senjata untuk mengugut mangsa.

Bakri berkata polis, melalui Ops Lejang Elite, yang dilancarkan untuk mengesan kegiatan samun kereta mewah pada ketika ini sedang giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu yang menggunakan modus operandi sama.

Sementara itu, katanya Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket samun kenderaan yang menggunakan modus operandi sama, apabila lima lelaki ditahan dan dua kereta dirampas.

“Taktik yang sama juga digunakan, tetapi kali ini suspek menyamun mangsa yang hendak memasuki kereta sebelum melarikan kereta dan meninggalkan mangsa di situ,” katanya.

Beliau berkata, dalam senario yang berlainan, polis Perlis juga berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kereta mewah yang dicuri ke negara jiran melalui Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan tersebut.

“Sebanyak empat kes curi kenderaan berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya keempat-empat lelaki terbabit,” katanya sambil menambah kejayaan polis juga dibantu dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pintu-pintu sempadan.

Sejak 2009 hingga tahun ini, polis mengesan 100 kes samun kereta mewah menggunakan modus operandi sama dengan nilai anggaran RM10 juta, katanya.

Katanya kereta-kereta mewah yang disamun suspek akan diseludup ke luar negara manakala yang kurang berjenama pula akan digunakan untuk melakukan kegiatan samun, atau kereta tersebut akan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti.

“Kita sedang menyiasat sama ada suspek-suspek samun kereta ini ada gunakan ‘orang dalam’ daripada syarikat-syarikat perkapalan untuk diseludup ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan polis juga mendapati kereta-kereta yang disamun tersebut berjaya diseludup hingga ke Dubai dan Afrika Selatan.

Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, mendedahkan kereta mewahnya disamun tiga lelaki bulan lalu selepas melanggar belakang keretanya di satu lebuh raya PLUS.

Kejadian berlaku pada 12 tengah malam ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam dari tempat kerjanya di USJ.

“Sebaik dilanggar saya keluar daripada kereta, sebelum seorang daripada mereka keluar dalam keadaan mabuk sambil meminta maaf.

“Tidak lama selepas itu, rakannya seorang lagi keluar dan hunuskan parang ke leher saya dan larikan kereta saya bersama beg duit dan telefon bimbit dan saya ditinggalkan di tepi jalan,” kata ahli perniagaan yang berumur 30 tahun itu. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments