Bahasa

11 sekolah ditutup di Lahad Datu ekoran pencerobohan

Sebuah kelas yang kosong di Felda Sahabat apabila sekolah diperintah ditutup atas sebab-sebab keselamatan berikutan kejadian serangan lelaki bersenjata di Tanjung Labian, Lahad Datu pada 15 Februari 2013. — Gambar ReutersSebuah kelas yang kosong di Felda Sahabat apabila sekolah diperintah ditutup atas sebab-sebab keselamatan berikutan kejadian serangan lelaki bersenjata di Tanjung Labian, Lahad Datu pada 15 Februari 2013. — Gambar ReutersKUALA LUMPUR, 4 Mac — Sebelas sekolah di Lahad Datu, Sabah ditutup sementara sehingga Rabu ini sejak Jumaat lepas berikutan insiden

pencerobohan kumpulan bersenjata di kawasan itu, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Arahan penutupan sementara itu dikeluarkan melalui surat bertarikh 1 Mac, katanya.

“Sekolah akan ditutup sehingga Rabu ini, sekiranya keadaan tidak reda, tempoh penutupan itu mungkin dilanjutkan mengikut keperluan sekolah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jabatan Pelajaran Sabah dan polis akan memantau perkembangan semasa di kawasan tersebut sebelum memutuskan keperluan melanjutkan tempoh penutupan tersebut, katanya.

Abdul Ghafar berkata meskipun tiada desakan daripada ibu bapa untuk menutup sekolah terlibat namun Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

“Perancangan untuk memindahkan kesemua pelajar terlibat ke sekolah berdekatan juga tidak perlu, apabila situasi telah  reda semua pelajar akan kembali ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Abdul Ghafar berkata cuti gantian perlu dilaksanakan selepas keadaan kembali pulih.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Maimunah Suhaibul ketika dihubungi mengesahkan menerima surat daripada  Kementerian Pelajaran pada 1 Mac lepas yang mengarahkannya menutup sekolah terlibat.

“Kita segera kenal pasti sekolah supaya arahan itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Antara sekolah yang kini ditutup sementara ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chee Vun, Sekolah Kebangsaan Tungku dan Sekolah  Kebangsaan Lahad Datu II.

Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah yang dilaporkan sejak 12 Februari, kini telah mengorbankan lapan anggota keselamatan negara — dua di Lahad Datu dan enam di Semporna. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.