15 ribu dijangka hadir majlis bersama TPM di Kluang 16 September ini
JOHOR BAHRU, 5 Sept — Kira-kira 15,000 orang dijangka hadir pada majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kluang pada 16 Sept ini, kata Wanita Umno Johor.
Ketuanya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, majlis itu yang dianjurkan oleh Wanita Umno Johor bersama pertubuhan bukan kerajaan akan berlangsung dari 2 hingga 5 petang, di padang Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Melayu.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua Wanita Umno Bahagian Negeri Johor di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, di sini.
Mengenai spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada November ini, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang berkata, Wanita Umno Johor telah bersedia untuk menghadapinya. — Bernama




