Bahasa

16 NGO hantar memo ke kedutaan AS bantah klip video hina Islam

Pembela bersama wakil dari 15 NGO berhimpun untuk membantah penyiaran klip video yang menghina Islam, di kedutaan Amerika Syarikat US, 14 September, 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayPembela bersama wakil dari 15 NGO berhimpun untuk membantah penyiaran klip video yang menghina Islam, di kedutaan Amerika Syarikat US, 14 September, 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 14 Sept — Lebih 20 orang ahli kumpulan pejuang Islam hari ini berdemo secara aman di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak hari ini kerana membantah klip video anti Islam yang diarahkan oleh pengarah filem Amerika yang mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Mereka yang mewakili 16 badan bukan kerajaan, termasuk Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), menuntut agar kerajaan AS bertanggungjawab ke atas filem yang bertajuk “Innocence of Muslims”, yang dikatakan menghina nabi Muhammad s.a.w.

Video tersebut disiarkan di Youtube pada 1 Julai, dengan menggunakan nama “Sam Bacile”.

“Dalam video tersebut, mereka menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai gila seks, kaki perempuan dan gay, dan ini jelas menghina agama Islam.

“Kami tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Libya dan Mesir, tetapi kami tidak mahu maruah agama kami dihina oleh sekelompak Kristian yang ekstremis.

“Mereka yang membuat video ini tahu bahawa mereka akan mencetuskan kemarahan umat Islam, supaya dapat mencetuskan ketegangan,” kata Aminuddin dalam sidang media selepas menghantar memorandum di hadapan kedutaan AS di ibu negara hari ini.

Menurut kenyataan akhbar dari Pembela, mereka mendapati bahawa Sam Bacile mengarahkan filem tersebut, dan Terry Jones, seorang pastor dari Amerika mengedarkan klip video filem tersebut.

Jones, pastor yang kini bersama Dove Outreach Center di Florida, pernah menimbulkan kemarahan seluruh dunia dua tahun lalu apabila beliau mahu membakar al-Quran, kitab suci umat Islam sempena ulangtahun tragedi 11 September.

“PEMBELA percaya bahawa Sam Bacile seorang penerbit filem, dan Terry Jones bersama dengan penyokong mereka mewakili sebuah kelompok Kristian kecil yang radikal untuk menghina Islam,” menurut kenyataan akhbar dari NGO tersebut.

Filem itu telah dibuat di AS, dan ditayangkan di panggung wayang di Hollywood pada penghujung Jun.

Tetapi klip video tersebut dimuatnaik dalam Youtube, dan dialihbahasa ke bahasa Arab, menurut laporan dari BBC, telah menyebabkan kemarahan dan keganasan anti-Amerika di Libya dan Mesir minggu lalu.

Rangkaian televisyen Mesir yang berunsurkan agama, al-Nas menunjukkan klip video tersebut yang dialih bahasa ke Bahasa Arab, dan dan ditonton hingga ribuan kali di Internet.

NGO tersebut berarak ke kedutaan bermula dari bangunan Tabung Haji yang bertentangan dengan kedutaan tersebut selepas solat Jumaat di masjid yang berhampiran.

Mereka membawa bendera hijau yang tertulis kalimah syahadah dan melaungkan “Allahuakbar” berulang kali sebelum menyerahkan memorandum.

Sebanyak 30 orang polis telah mengawal kedutaan tersebut namun tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Ketika AS sedang mengenang tragedi 11 September, kita sebenarnya mengharapkan mereka untuk menghormati agama lain dan bukannya menghina,” kata Aminuddin yang merujuk kepada tragedi 11 September 2001, yang didalangi oleh ekstremis Islam yang menyebabkan kematian ribuan orang ramai di menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, 11 tahun yang lalu.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.