Bahasa

1,703 perwakilan muflis tidak dibenar mengundi pemilihan Umno

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
October 07, 2013
Latest Update: October 07, 2013 11:02 pm

Jawatankuasa Pemilihan Umno mengumumkan seramai 1,703 perwakilan didapati muflis dan tidak layak untuk mengundi pada pemilihan Umno bulan ini.

Pengerusinya, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali turut mengumumkan jumlah muktamad calon yang akan bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi (MT) adalah seramai 260 orang selepas seorang didapati tidak layak bertanding.

"Jumlah muktamad calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno di peringkat bahagian ialah seramai 33,012 orang.

"Calon tersebut disenarai pendek setelah 334 orang diisytiharkan muflis, 495 menarik diri dan 39 lagi terlibat dengan masalah disiplin," katanya dalam satu sidang media di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Dalam majlis itu juga, Tajol mengumumkan Pengerusi Unit Media Baru, Tun Faisal Ismail Aziz dibenarkan untuk bertanding jawatan MT Umno dalam pemilihan parti 19 Oktober ini.

Katanya, menurut Fasal 9.5 Perlembagaan Umno, hanya calon yang pernah memegang mana-mana jawatan ahli MT dan ahli jawatankuasa bahagian untuk satu penggal layak bertanding.

"Tun Faisal dibenarkan untuk bertanding jawatan MT berdasarkan Fasal 10.15 bagi langkah kesempurnaan perjalanan parti. Beliau adalah calon yang diketengahkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia," katanya

Semasa dihubungi The Malaysian Insider, Tun Faizal berkata beliau bersyukur kerana dibenarkan untuk bertanding di samping mengakui kurang berkempen dan hanya diperkenalkan sebagai calon ketika majlis bertemu perwakilan.

“Saya perlu bekerja keras untuk mendapat keyakinan perwakilan,” katanya.

Dalam pengumuman sama, Tajol berkata rayuan Pengerusi Umno Cawangan Gombak Setia, Profesor Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman telah ditolak.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Umno Datuk Rauf Yusuh berkata senarai yang dikeluarkan hari ini adalah muktamad dan segala rayuan tidak akan dilayan.

Ketika ditanya berhubung peraturan yang menyukarkan calon untuk berkempen, Rauf berkata isu itu perlu dirujuk kepada jawatankuasa disiplin dan bukannya jawatankuasa pemilihan.

Sebahagian calon yang bertanding pada pemilihan Umno kali ini mengecam peraturan berkempen yang terlalu ketat sehingga tidak berlaku adil kepada calon yang tiada jawatan dalam kementerian untuk berjumpa dengan perwakilan.

Antara syarat yang dikenakan kepada calon dengan tidak dibenar menggunakan media untuk berkempen, melobi atau menggunakan pengurus kempen. - 7 Oktober, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi