21 tertuduh kes perhimpunan haram ulangtahun Bersih dibebaskan
21 orang termasuk Tony Pua (tiga dari kiri) dilepaskan oleh mahkamah kerana gagal dibuktikah bersalah. Turut hadir menyokong adalah penasihat DAP Lim Kit Siang (tengah). PETALING JAYA, Sept 18 — 21 orang termasuk ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini didapati tidak bersalah dan dibebaskan atas dakwaan kes perhimpunan haram ulangtahun pertama Bersih pada tahun 2008.
Hakim Hayatul Akmal hari ini memberi keputusan tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwa tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mendakwa penganjur perhimpunan tersebut.
Gobind Singh Deo yang mengetuai pasukan peguam pembelaan berkata, beliau amat gembira dengan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah sesyen hari ini.
“Pihak pendakwa jelas tidak mempunyai bukti yang kukuh bahawa penganjur membuat sebarang kesalahan. Jadi saya berharap peguam negara tidak akan merayu untuk kes ini.
“Kemenangan ini sangat menggembirakan memandangkan kami telah berada di dalam kes ini sudah hampir tiga tahun,” kata Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong.
Ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata beliau berharap pihak peguam negara dapat menerima keputusan ini dan tidak membuat rayuan.
“Seharusnya, ini bukanlah satu kesalahan. Jadi, saya berharap pihak peguam negara dapat menerima keputusan ini dan tidak akan merayu,” kata Lim lagi.
Tony Pua berkata mereka tidak seharusnya ditahan kerana tiada keganasan dilakukan.
“Kerajaan Malaysia tidak seharusnya menangkap warga yang berhimpun secara aman, menyanyi lagu Negaraku atau membakar lilin.
“Kami mahu kerajaan untuk menghormati Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin hak kepada orang ramai untuk berhimpun secara aman,” kata Tony lagi.
“Kami cuma berhimpun, menyanyikan lagu Negaraku, dan membakar lilin sebagai tanda peringatan, kami tidak melakukan sebarang keganasan,” katanya lagi.
“Kerajaan Malaysia haruslah menghormati hak orang ramai yang termaktub dalam Perlembagaan untuk berhimpun.”
Ahli dewan undangan negeri Pandamaran Ronnie Liu pula berkata beliau berterima kasih kepada barisan peguam dan mahkamah ke atas keputusan ini.
Pada 9 November 2008, polis telah menahan 21 orang termasuk Tony Pua, ahli majlis bandaraya Petaling Jaya Tiew Way Keng, paderi Katolik Polinos Miranda, dan wartawan Malaysiakini Syukri Mohamad kerana didakwa melakukan perhimpunan haram di hadapan Pusat Sivik Petaling Jaya.





