Bahasa

28 isteri polis marin terlibat operasi Lahad Datu terima penghargaan

March 25, 2013

GEORGE TOWN, 25 Mac — Sebanyak 28 isteri anggota Polis Marin Wilayah Satu yang terlibat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah hari ini menerima sijil penghargaan khas sempena sambutan Hari Polis ke-206 di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata penghargaan itu bagi menaikkan semangat mereka yang terpaksa mengendalikan keluarga seorang diri selepas suami dihantar bertugas dalam operasi berkenaan.

“Kita harap isteri anggota terlibat menjalani hari-hari mendatang dengan bersemangat dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk pasukan keselamatan di sana agar semuanya dapat kembali dengan selamat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebanyak 28 anggotanya dihantar bertugas di Lahad Datu sejak 20 Februari lepas dan mereka dijadual pulang Sabtu ini, manakala tempat mereka diganti 12 anggota yang akan dihantar pada hari sama.

Pada perkembangan lain, Mohd Yusof berkata pasukannya telah menjalankan 156 operasi di kawasan perairan Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga semalam.

Katanya sepanjang operasi itu, pihaknya merekodkan 26 kes membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penahanan pendatang asing yang cuba memasuki Negara ini.

Kes yang terbanyak ialah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu seperti kes penyeludupan diesel dan kes-kes penyeludupan barangan import untuk mengelak cukai, katanya. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi