Bahasa

300 penduduk rumah panjang tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

KAPIT, 10 Mei — Kira-kira 300 penduduk Rumah Panjang Agan di Bukit Goram, tiga kilometer dari sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Menurut pegawai di Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Jackson Anyie, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.11 pagi tadi dan dua jentera bomba bersama 18 anggota serta enam anggota sukarela, digegaskan ke tempat kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal sejam kemudian namun rumah panjang yang diperbuat daripada kayu itu musnah keseluruhannya, katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. Sementara itu dua penghuni rumah panjang 30 pintu tersebut mengalami kecederaan ringan ketika cuba menyelamatkan harta mereka.

Kedua-duanya dihantar mendapatkan rawatan di hospital. Kejadian itu yang berlaku ketika kebanyakan penduduk dewasa berada di bandar turut memusnahkan kenderaan yang diletak di kawasan rumah panjang berkenaan. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.