Bahasa

30,000 lagi unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan

aja Nong Chik juga berkata rumah di Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak akan dinaik taraf. – Gambar failaja Nong Chik juga berkata rumah di Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak akan dinaik taraf. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bercadang membina 30,000 unit rumah mampu milik di sekitar Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata rumah itu disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rumah mampu milik itu tidak termasuk 50,000 unit yang akan dibina melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sekitar Lembah Klang, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PR1MA Alam Damai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PR1MA Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib.

Raja Nong Chik juga berkata rumah di Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak akan dinaik taraf dengan kesemua rumah berukuran 500 kaki persegi akan diperluaskan kepada 800 kaki persegi.

“Persetujuan telah dicapai dengan penduduk Taman Ikan Emas dan surat tawaran akan dihantar dalam bulan ini,” katanya.

Raja Nong Chik juga berkata projek sinergi antara kementerian beliau dan PR1MA akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk memiliki rumah yang berkualiti dan selesa.

Sementara itu, kalangan pengunjung yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran itu nyata teruja dan berpuas hati dengan harga dan lokasi serta reka bentuk rumah itu.

Seorang pekerja swasta Shaiful Nizar, 27, berkata rumah yang dibina oleh PR1MA menepati cita rasanya dan berkonsep moden.

“Saya sokong 100 peratus usaha kerajaan ini kerana mereka tahu apa yang rakyat perlukan,” katanya ketika sedang mengisi borang PR1MA itu.

K.Murugaya, 38, berharap beliau terpilih untuk mendapat rumah PR1MA itu kerana tidak mampu untuk membeli rumah mengikut harga pasaran yang ditetapkan di kawasan bandar ini.

Beliau mengetahui mengenai PR1MA melalui seorang daripada anggota keluarganya yang tinggal di sekitar kawasan itu dan tertarik dengan reka bentuk dan harga rumah berkenaan.

Bagi Choong Choo pula, 63, harga yang ditawarkan PR1MA adalah dua kali lebih murah daripada harga pasaran selain lokasinya yang strategik.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dengan usaha mereka membina rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya.

Selain di Alam Damai, PR1MA juga akan dibina di Bukit Jalil, Sungai Besi, Brickfields, Jelatek, Glenmarie, Cheras, Putra Heights Cyberjaya dan Setapak.

Pembangunan PR1MA Alam Damai akan melibatkan 2,078 unit yang mempunyai keluasan binaan dalaman di antara 670 kaki persegi dan 1,055 kaki persegi.

Ia juga meliputi kemudahan awam seperti dewan komuniti, kawasan permainan dan pusat penjagaan kanak-kanak.

Antara kriteria kelayakan pemohon adalah warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan kasar antara individu atau gabungan pendapatan isi rumah antara RM2,500 dan RM7,500.

Pemohon juga tidak boleh memiliki lebih dari satu milikan hartanah di Malaysia, selain dari rumah unit kos rendah atau unit kos pertengahan.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui laman web PR1MA. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.