Bahasa

320 kumpulan pertama jemaah haji berlepas awal pagi ini

KUALA LUMPUR, 17 Sept —  Seramai 320 jemaah haji pertama berlepas ke tanah suci pada pukul 1.30 pagi ini dengan penerbangan Saudi Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Pengerusi KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS) Datuk Abdul Mutalib Muhamed Razak berkata untuk tahun ini, 61 penerbangan pergi jemaah haji dikendalikan KLAS menerusi Saudi Airlines.

"Kira-kira 14,000 jemaah haji menggunakan penerbangan Saudi Airlines tahun ini, separuh daripada jumlah keseluruhan jemaah iaitu seramai 28,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, pada satu majlis ringkas, beliau menyampaikan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada jemaah penerbangan pertama itu.

Seramai 600 pegawai dan petugas Tabung Haji kini berada di Madinah dan Mekah bagi menguruskan jemaah haji negara ini.

Penerbangan terakhir ke tanah suci yang dikendalikan KLAS ialah pada 18 Okt, manakala penerbangan pertama pulang ke tanah air pula dijadual 1 Nov. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.