35 sekolah Tamil di ladang Sime Darby dipindahkan atau dibina blok baru
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Sebanyak 35 buah sekolah Tamil yang terletak di ladang Sime Darby di seluruh negara akan sama ada dipindahkan ke kawasan lebih sesuai atau menyaksikan pembinaan blok baru, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.
Beliau berkata banyak daripada sekolah berkenaan telah memohon bagi kawasan tanah tambahan yang telah dipersetujui oleh Sime Darby.
“Antara negeri yang mendapat manfaat, Selangor menyaksikan jumlah sekolah terbanyak iaitu sebanyak 14 buah sekolah yang akan sama ada dipindahkan ke kawasan baru atau menyaksikan pembinaan blok tambahan.
“Negeri-negeri lain yang turut mendapat manfaat daripada langkah itu ialah Johor (lapan buah sekolah), Kedah (tiga), Melaka (dua), Negeri Sembilan (empat), Pahang (dua) dan Perak (dua)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isu sekolah Tamil adalah antara isu yang telah diselesaikan pada mesyuarat dengan pengurusan ladang-ladang Sime Darby baru-baru ini.
Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Sime Darby juga melayani permintaan membabitkan kuil, antara permintaan itu ialah memindahkan kuil, bangunan tambahan dan pembesaran kuil.
“Sime Darby juga telah menyumbang wang tunai kepada beberapa buah kuil untuk menjalankan upacara pentahbisan,” katanya.
Isu lain yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah tapak perkuburan, membaiki jalan di ladang-ladang serta membenarkan pekerja ladang bertani.
Sementara itu, Palanivel juga berkata semua 1,500 tempat untuk program matrikulasi yang diperuntukkan kepada pelajar India akan diisi pada bulan ini. – Bernama




