3,804 pesalah dadah ditangkap di Kedah dari Jan hingga Mac
ALOR SETAR, 14 April — Seramai 3,804 orang ditahan polis di atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah semasa tiga bulan awal tahun ini, menurut Bernama.
Bernama melaporkan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata bahawa daripada jumlah itu 97 merupakan pengedar dadah yang ditahan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya sementara 95 lagi di bawah Seksyen 39A(2) dan seramai 158 di bawah Seksyen 39A(1).
Ahmad berkata polis telah meningkatkan operasi Ops Tapis terutamanya di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam dan di plaza tol.
Polis turut membuat pemerhatian berkala di pelbagai tempat yang diketahui berlakunya pengedaran dadah seperti stesyen bas, lapangan terbang dan terminal teksi, kata Ahmad kepada wartawan di Program Kembara Basikal Polis Kedah Bersama Rakyat di Kuala Kedah hari ini.




