Bahasa

500 anggota NGO desak Lim tunai janji dalam manifesto PRU-12

March 22, 2013

Kumpulan demonstrasi Warisan Anak Merdeka berjalan menuju ke Komtar, Pulau Pinang. — Gambar oleh K. E. OoiKumpulan demonstrasi Warisan Anak Merdeka berjalan menuju ke Komtar, Pulau Pinang. — Gambar oleh K. E. OoiGEORGE TOWN, 22 Mac — Kira-kira 500 anggota lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan demonstrasi aman secara berasingan bagi mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menunaikan janji pakatan pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 lepas.

Kira-kira 300 anggota Malaysian Youth Rights Movements, 1Malaysia Brothers dan Pertubuhan Belia Komuniti Pulau Pinang berkumpul pada 1.30 tengah hari di Jalan Macalister di sini dan berarak sejauh dua kilometer ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang turut menempatkan pejabat Ketua Menteri.

Mereka memakai baju berwarna biru muda bertulis “Don’t Take Away Our Freedom” dan membawa sepanduk serta kain rentang turut melaungkan “kami tak nak ubah”, “mana rumah kos rendah”, “di mana peruntukan untuk kaum India” dan “sudah lima tahun tol berjalan bila mansuh” sepanjang perarakan itu.

Presiden Malaysian Youth Rights Movement, Shen Yee Aun kemudiannya menyerahkan memorandum kepada Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Shum Jian Wei.

Shen berkata memorandum itu mengandungi 10 perkara, antaranya bantahan terhadap projek terowong dasar laut, menuntut janji penghapusan tol, memperbaiki akses Penang Free Wifi, peruntukan kebajikan untuk kaum India dan isu kos rumah rendah.

“Kami minta ketua menteri beri jawapan dalam tempoh seminggu jika tidak kami akan mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana isu-isu yang dikemukakan itu berkaitan hak rakyat,” katanya kepada pemberita.

Shen turut menggesa Lim menyiasat ugutan membunuh dan merogol di laman-laman sosial oleh ‘cybertroopers’ propembangkang yang didakwanya semakin berleluasa terhadap individu tertentu yang dianggap tidak menyokong perjuangan mereka.

Sementara itu, kira-kira 200 anggota lima NGO dan anggota akar umbi PAS mengadakan perhimpunan dan berarak ke Komtar selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Enam, Jalan Macalister.

NGO berkenaan ialah Warisan Anak Merdeka, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Pertubuhan Pribumi Perkasa Pulau Pinang, Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Pulau Pinang dan Suara Anak-anak Malaysia.

Wakil NGO itu, Abdul Ghani Harun menyerahkan surat untuk ditandatangani oleh Lim sebagai tanda persetujuan untuk menarik semula kenyataannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Surat itu diterima Penolong Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Watawa NatafZulkifli.

Perhimpunan yang berakhir kira-kira 3 petang itu turut dikawal ketat pasukan keselamatan termasuk Unit Tindakan Ringan (LSF) yang diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi