KUALA LUMPUR, 20 Sept — Seramai 550 peneroka dari Felda Gugusan Bera memfailkan saman RM300 juta terhadap lembaga tanah itu berhubung isu menipu hasil perahan minyak selama 16 tahun.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui Tetuan Mazwan dan Naza Associates pagi ini.
Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS pusat Mazlan Aliman berkata, “antara tuntutan yang kita buat adalah wujud elemen penipuan kadar perahan gred, sejak 16 tahun lalu iaitu bermula pada 1995, melibatkan beberapa kilang kelapa sawit di Tementi, Triang 3 dan Bukit Kepayang.”
“Selain itu kita juga menuntut perkara lain iaitu isi sawit yang sepatutnya dibayar pada kadar 5.35 peratus mengikut setiap tan tetapi peneroka tidak dapat maklumat sama ada dibayar atau tidak,” katanya.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau memberitahu, peneroka terbabit juga menuntut ganti rugi bagi abu tandan dan tahi minyak yang tidak dibayar kepada peneroka.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS menambah, kesemua peneroka dari 10 kawasan Felda yang berlainan mengemukakan saman itu untuk menuntut ganti rugi yang sepatutnya diperoleh mereka.
Antaranya termasuk Felda Tementi, Felda Mayam, Felda Kepayang, Felda Purun, Felda Rentam dan Felda Sebertak.
“Kilang-kilang kelapa sawit turut mengenakan penalti kepada buah tandan muda tetapi tidak dipulangkan semula kepada peneroka, jadi ini juga kita tuntut ganti rugi.
“Peneroka telah menuntut semua tuntutan ini sebagai satu ganti rugi yang mesti dibayar oleh Felda sejak 16 tahun lalu dan kadar setahun kira-kira RM19 juta, jadi kalau selama 16 tahun dianggarkan sebanyak RM300 juta,” katanya.
Sebelum ini PAS telah memfailkan beberapa saman terhadap Felda berhubung penipuan bagi pihak peneroka-peneroka.
Pada 2003, peneroka Tanah Rancangan Felda iaitu Felda Kemahang 3 di Kelantan dan Felda Moakil (Johor) telah memfailkan saman terhadap Felda berkaitan penyelewengan yang dilakukan lembaga itu.
Ia kemudian diikuti saman terhadap Felda atas dakwaan berlaku penyelewengan.






