Bahasa

6 faktor Jambatan Kedua Pulau Pinang lewat siap, kata Guan Eng

PULAU PINANG, 20 Jun — Ada enam faktor utama yang menjadi punca projek Jambatan Kedua Pulau Pinang lewat disiapkan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau berkata faktor pertama merujuk kepada kajian lanjut tentang kesan kemalangan di laut yang perlu dilaksanakan dengan baik bagi memastikan binaannya benar-benar kukuh.

Katanya sebab kedua pula merujuk kepada penilaian beban kesan gempa bumi yang perlu dijalankan, manakala sebab ketiga berkaitan dengan kajian mengenai kawasan kedalaman laut untuk melihat kesan struktur tanah di tempat itu.

“Tiga sebab lain terlalu teknikal,” katanya kepada pemberita sebelum membuat lawatan ke tapak pembinaan jambatan kedua di sini hari ini.

Jambatan yang seharusnya siap pada 2012 mengikut rancangan asal itu dijangka hanya dapat disiapkan pada September 2013 akibat faktor tersebut.

Jambatan Kedua Pulau Pinang sejauh 23.5 kilometer merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian Pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar, dan ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd (CHEC) dan UEM Builders Bhd.

Lim berkata pembinaan jambatan kedua itu kini berada di peringkat 25 peratus siap.

Beliau seterusnya meminta semua syarikat yang mendapat kontrak bagi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang memberi keutamaan kepada kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera yang berasal dari Pulau Pinang.

“Semua syarikat kontraktor yang mendapat kontark projek pembinaan jambatan bukan berasal dari Pulau Pinang,” katanya. — Bernama

 

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments