7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

798 Art Zone, Beijing

July 20, 2011

Angka ‘798’ pasti membuatkan peminat seni teruja apabila mengunjungi Beijing.
BEIJING, 20 Julai — Kegiatan ‘Lorong Seni’ yang menjadi aktiviti bulanan di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya pasti mendapat suntikan positif yang benar-benar memberangsangkan sekiranya aspek-aspek menarik pada 798 Art Zone di daerah Chaoyang, Beijing dijadikan contoh dan panduan.

Demikian pandangan penulis, editor, penyanyi dan peminat seni, Izan Ali yang terlibat secara langsung dalam menjayakan aktiviti seni itu sejak setahun lalu.

Pengarang novel ‘Ilham’ dan ‘Buku Bunga-bunga’ itu percaya bahawa sokongan dan sambutan semakin hangat yang diterima daripada golongan belia sejak awal tahun ini terhadap Lorong Seni dapat ditambah berlipat kali ganda sekiranya idea daripada 798 Art Zone dapat diambil dan diaplikasi secara bijak.

Saya bersama-sama Izan, Nurul Fadzillah, Jasmine Koh dan Tan See Hua meluangkan masa hampir separuh hari semalam di kawasan itu yang juga digelar 798 Yishuqu, Dashanzi Art District dan Factory 798.

Kawasan yang pada asalnya adalah kilang-kilang mula ditutup secara berperingkat mulai akhir 1980-an iaitu pada masa yang sama di mana kelompok seniman kontemporari sedang mencari ruang baru untuk menjalankan aktiviti kesenian mereka.

Komuniti itu pada mulanya aktif di rumah-rumah yang dikosongkan berhampiran Istana Musim Panas Lama (Yuanmingyuan) sejak tahun 1984, sebelum diarah berpindah pada 1993 oleh kerajaan yang kurang menerima seni avant garde.

Kemudian pada 1995, Central Academy of Fine Arts (CAFA) membuka bilik pameran di Factory 706, Dashanzi. Lima tahun kemudian, satu studio seni milik Sui Jianguo, Dekan Jabatan Seni Ukir CAFA dibuka kepada umum untuk datang melihat puluhan pekerja menjalankan akiviti seni secara dekat dan langsung.

Bangunan lama menjadi lokasi kedai dan studio seni kontemporari.
Kawasan bangunan kilang milik tentera sejak tahun 1957, kini bertukar menjadi kawasan pameran, aktiviti dan jualan komuniti seni secara terancang serta sering dibandingkan dengan Greenwich Village (SoHo) di New York, Amerika Syarikat.

Maka, tidak hairanlah jika Izan dan Fadzillah mengimpikan kehebatan yang serupa menular ke Malaysia dengan sokongan dana daripada kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan seniman tanpa sekadar terhad kepada golongan penyanyi popular.

“Lorong Seni mengumpulkan golongan remaja daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan yang meminati aktiviti seni seperti muzik, melukis, grafiti, penulisan kreatif dan tarian.

“Aktiviti berasaskan teater untuk remaja dan pelajar yang dimulakan oleh Yusrika ternyata semakin menarik minat generasi muda dan amat wajar diberi suntikan berbentuk dana dan penyediaan lokasi tetap untuk membantu komuniti seniman semakin berkembang,” kata Izan sambil kami berjalan-jalan sekeliling 798 Art Zone dan menikmati pameran seni pelbagai genre.

Program Lorong Seni di Putrajaya yang mendapat sokongan e-rama TV dan pelbagai pihak lain pula terbukti semakin berkembang serta menerima penyertaan lebih menyeluruh daripada belia dan remaja pelbagai kaum.

“Lorong Seni pernah diadakan di Bukit Bintang selain menyertai aktiviti anjuran Pekan Frinjan serta mengundang penyertaan kumpulan inACTion dari Indonesia.

“Malah pada hujung minggu depan, Lorong Seni akan dibawa ke Terengganu. Harapan saya agar aktiviti positif dan membina ini terus berkembang dengan bantuan kewangan dan sokongan padu kerajaan, swasta dan individu,” ujar Izan yang tidak melepaskan peluang merakamkan foto-foto di sekitar 798 Art Zone.

Fakta menunjukkan bahawa Robert Bernell dari Texas memindahkan syarikat penerbitan dan kedai buku Timezone 8 Art Books miliknya ke bekas bangunan kantin di Factory 798.

Salah seorang kakitangannya ialah Xiao Li, seorang pereka fesyen. Dia bersama suaminya membantu lebih ramai seniman kontemporari dan urban menyewa tempat di sekitar 798 Art Zone.

Sekali pandang, insan yang kurang kreatif dan tidak memiliki mata ‘seni’ akan hairan mengapa kawasan bekas kilang yang buruk menjadi tarikan kepada begitu ramai penggiat dan peminat seni.

“Saya suka pada cara dan konsep mengekalkan sebanyak mungkin tinggalan kilang lama di sini sebab ia mempunyai sejarah tersendiri kerana saya difahamkan kilang-kilang ini dibina seawal 1955.

“Kalau kita perhatikan, banyak slogan propaganda zaman pemerintahan Mao Zedong dikekalkan kerana ia sendiri menjadi sebahagian daripada kerja seni yang tinggi nilainya, selain menjadi bahan sejarah negara,” kata gadis kelahiran Kampar, Perak yang bekerja sebagai penyunting di Gemilang Publishing Sdn Bhd sejak 2009.

Sesungguhnya masa sehari tidak mencukupi bagi peminat seni melawat, meneliti, menghayati dan menghargai keunikan 798 Art Zone. Selain membeli cenderamata eksklusif sebagai kenangan, pengunjung juga boleh singgah berehat dan makan-minum di beberapa kafe yang disediakan.

Amat nyata bahawa konsep seni yang terpancar di kawasan ini amat luas kerana turut meliputi seni grafiti yang mungkin sahaja dianggap sebagai vandalisme dan contengan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Saya akan mengusulkan kepada penggiat Lorong Seni dan Rakan Muda agar konsep 798 Art Zone cuba diterapkan di Malaysia. Kita memang ada banyak tempat yang terbiar dan sesuai diubah menjadi Lorong Seni yang kekal.

“Dengan cara mengiktiraf aktiviti seni kontemporari dan urban yang tidak terlalu konvensional, kita sebenarnya mampu menarik minat serta membantu golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti kurang bermanfaat seperti melepak, merempit dan sebagainya,” kata Izan dengan penuh semangat semasa kami berlima berjalan keluar menuju ke stesen bas pada sebelah petang.

Peminat seni dari Malaysia yang berkunjung ke Beijing amat wajar merebut peluang mengunjungi 798 Art Zone sebelum terlambat. Saya katakan demikian kerana mungkin kawasan itu terpaksa menjadi mangsa kepada ‘pembangunan moden’.

Semasa Joint Factory 718 diasaskan pada lewat tahun 1950-an, Dashanzi dipilih untuk membina kilang milik tentera kerana terletak jauh dari pusat bandar Beijing. Malah, aspek itu menjadi daya penarik kepada golongan seniman untuk berkumpul di sana.

Bagaimanapun, kini kawasan Dashanzi terletak di lokasi strategik antara Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dan pusat bandar metropolitan. Nilai tanahnya terus meningkat dan pasti sahaja ada pihak yang berminat membangunkannya sebagai pusat komersial yang memberi keuntungan perpuluh kali ganda berbanding dijadikan pusat seniman.