Bahasa

Hadi bidas Dr M, dakwa Umno punca penganut agama keliru

Abdul Hadi (ketiga dari kiri) pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah di Ampang. — Gambar Choo Choy MayAbdul Hadi (ketiga dari kiri) pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah di Ampang. — Gambar Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 3 Feb — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak tuduhan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan parti tersebut menggunakan agama dan kalimah “Allah” untuk memancing undi, sebaliknya mendakwa Umno yang bertanggungjawab mewujudkan kekeliruan dikalangan penganut agama di Malaysia.

Dalam laporan akhbar berbahasa Melayu Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir menekankan Malaysia berbeza dengan negara lain yang mempunyai dua kefahaman Islam kerana negara ini hanya mengamalkan mahzab Ahli Sunnah Wal Jamaah dikalangan penganut Muslim.

“Isu agama ini dipermainkan oleh Umno sejak dahulu lagi,” kata Abdul Hadi dalam ucapannya di Ampang pagi ini sempena Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah.

“Malahan mereka juga sanggup mempermainkan kalimah Allah dan memutar-belitkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura bulan lalu.

“Kalimah Allah ini bukan hanya untuk penganut Muslim sahaja, malahan dinegara arab penganut agama selain Islam juga menggunakan kalimah suci tersebut.

“Cuma yang tidak boleh ialah menterjemahkan ia sebagai rujukan kepada tuhan lain dan disalahguna untuk tujuan tidak baik,” tambah beliau lagi.

Menurut pemimpin utama PAS itu lagi, sikap Umno yang mempolitikkan isu penggunaan kalimah “Allah” tersebut hanya bertujuan untuk memancing pengundi dan mereka telah melakukannya sejak dahulu lagi sehinggakan ia mengelirukan penganut agama Islam di Malaysia.

“Umno yang menyebabkan kekeliruan dikalangan penganut agama di Malaysia ini,” tegas Abdul Hadi lagi.

Abdul Hadi semasa berucap pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah.Abdul Hadi semasa berucap pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah.Dalam ucapannya lagi, Abdul Hadi juga menegaskan PAS tidak akan berkompromi dengan cadangan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan Umno memandangkan pernah ditipu pada suatu ketika dahulu dan ahli-ahli parti Islam tersebut diingatkan untuk mengambil sejarah lalu sebagai iktibar.

Dalam artikel Dr Mahathir hari ini, beliau menuduh PAS mempolitikkan agama dan menggunakan kalimah “Allah” sebagai umpan mendapatkan undi dalam  pilihan raya tahun ini serta memberi amaran ketegangan antara agama walaupun penganut Islam di Malaysia majoritinya bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mantan perdana menteri itu berkata tidak seperti penganut Islam lain di dunia yang terpecah kepada dua mahzab, umat Islam di Malaysia hanya mengikut doktrin Sunnai, pada masa sama menekankan terdapat parti-parti politik tertentu mengeksploitasi agama demi kepentingan sekular.

“Kalimah ‘Allah’ sudah digunakan untuk pancing undi. Kerana ingin dapat undi pihak tertentu dalam pilihan raya, dinyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh siapa sahaja,” tulis Dr Mahathir dalam kolum di akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

“Kemudian apabila takut tak dapat undi pihak yang lain, dengan mudah dinyatakan kalimah Allah tidak boleh diguna selain dalam agama Islam. Bila ditanya kenapa dahulu kata boleh, jawabnya itu karut. Mursyidul Am Pas mengaku ia mengarut,” kata beliau lagi.

Baru-baru ini, isu perebutan penggunaan kalimah “Allah” kembali mendapat perhatian umat Islam di Malaysia apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusan Hari Natalnya menyeru Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil berbahasa Melayu.

Lanjutan perdebatan isu tersebut, presiden badan bukan kerajaan (NGO) Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencetuskan lagi bahang ketegangan dengan menggugut untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu semasa berucap pada satu himpunan NGO tersebut di Pulau Pinang.

Selain itu, khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini juga menimbulkan ketakpuashatian banyak pihak memandangkan ia menwujudkan kebencian agama bagi umat Islam dengan menggelar bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan mereka sebagai “musuh Islam”.

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin walaubagaimanapun mengatakan penganut agama Yahudi dan Kristian sudah menggunakan kalimah “Allah” jauh lebih lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad dalam sebuah kuliah yang disiarkan di laman sosial YouTube.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.