Bahasa

Abdul Khalid kecam SPR, gesa Najib letak jawatan sebagai pengerusi BN negeri

Oleh MB Izwan
May 06, 2013

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini kerana tidak telus mengendalikan proses pilihan raya umum ke-13 yang berakhir semalam disamping mahu Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan serta-merta.

Tan Sri Abdul Khalid (gambar) menyifatkan SPR tidak menepati janji apabila gagal menjalankan proses pilihan raya yang bersih dan adil seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Prestasi SPR  amat mengecewakan sekali dengan kejadian-kejadian seperti kegagalan dakwat kekal gagal berfungsi seperti mana yang dijanjikan, kehadiran pengundi hantu dan meragukan, kotak-kotak undi yang sering muncul secara tiba-tiba serta melambat-lambatkan keputusan.

“Kami yakin sekiranya proses pilihanraya lebih bersih dan adil, kemenangan Pakatan Rakyat akan lebih besar lagi bukan sahaja di Selangor tetapi juga di peringkat persekutuan,” kata menteri besar sementara itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Selangor kekal di tangan PR selepas memperoleh majoriti besar dengan kemenangan 44 kerusi dewan undangan negeri (DUN), memperbaiki keputusan yang diperoleh pada 2008 sebanyak 34 kerusi.

Selain memperoleh kemenangan besar, PR juga berjaya menawan DUN Dusun Tua, Sabak, Taman Templer, Tanjung Sepat, Paya Jeras, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa, Morib dan Sungai Pelek.

“Jelas Pakatan Rakyat mendapat undi popular dan undi dari semua kaum dan ini bertentangan dengan dakwaan Dato’ Seri Najib Razak bahawa kita hanya mendapat sokongan kaum Cina. 

“Dengan kekalahan BN di Selangor, kita mendesak supaya Najib Razak meletak jawatan sebagai Pengerusi BN Selangor  kerana  telah terbukti beliau  gagal dan ditolak rakyat Selangor,” tambahnya lagi.

Disamping itu, Abdul Khalid berkata PR akan memastikan khazanah negeri tersebut yang kaya dikongsi secara adil antara semua rakyatnya dan menjemput orang ramai ke Dataran Kemerdekaan pada Khamis malam ini, 9 Mei, untuk satu majlis kesyukuran sederhana dan ceramah.

Keputusan pilihan raya umum ke-13 yang berakhir semalam menyaksikan BN mengekalkan penguasaan sebagai kerajaan pusat tetapi dengan majoriti lebih berbanding sebelum ini apabila hanya memperoleh 133 kerusi Parlimen berbanding PR sebanyak 89 kerusi.

Malah, usaha Najib untuk merampas negeri terkaya di semenanjung Malaysia tersebut gagal malah lebih teruk pada 2008. 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi