Bahasa

Abdul Khalid tinggalkan Ijok, akan bertanding di Pelabuhan Klang

Oleh Md Izwan
April 14, 2013

KUALA LUMPUR, 14 April — Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Pelabuhan Klang dan akan meninggalkan kerusi Ijok.

Abdul Khalid dalam komen menerusi akaun Twitter miliknya berkata: “Saya terima cadangan pimpinan untuk bertanding di Pelabuhan Klang dan berjanji untuk kerja kuat demi pastikan yg terbaik untuk Pelabuhan Klang serta rakyat Selangor.”

Menteri besar kerajaan sementara Selangor itu berjanji untuk bekerja keras bersama-sama rakan Pakatan Rakyat (PR) — DAP dan PAS — untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya 2013 nanti.

“Sy akan bekerja kuat bersama DAP dan PAS di Pelabuhan Klang untuk negeri Selangor!” katanya lagi.

Semalam, laporan media mendedahkan kepimpinan pusat PKR mahu beliau bertanding di Pelabuhan Klang dan bukan lagi Ijok.

Pada pilihan raya umum 2008, Badrul Hisham Abdullah memenangi kerusi Pelabuhan Klang atas tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi, mengalahkan calon BN tetapi meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong BN.

Beliau kemudian menyertai Umno pada Mei 2010.

Abdul Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor secara rasminya selepas mengangkat sumpah pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan,Shah Alam,Selangor.

Pada 8 Mac 2008, PR memenangi 36 kerusi dengan 15 kerusi dimenangi PKR, 13 DAP dan 8 dari PAS. BN pula memenangi 20 buah kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Pilihan raya umum bakal diadakan pada 5 Mei depan dengan 20 April ini adalah hari penamaan calon dan tempoh berkempen adalah 15 hari.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi