Bahasa

Ada ahli politik di belakang Ramli Yusuff, kata Musa

Oleh Zurairi AR
December 10, 2012

PETALING JAYA, 10 Dis — Tan Sri Musa Hassan (gambar) mencadangkan hari ini terdapat tokoh politik yang tidak dinamakan menyokong pengkritik dan bekas rakan sekerja beliau Datuk Ramli Yusuff dalam ‘perang mulut’ antara kedua-dua bekas pemimpin tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) itu.

Menurut bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu, Ramli diberi platform untuk mengkritik beliau dan menunjukkan imej PDRM dalam keadaan baik.

“Kelihatan seperti beliau adalah penyelamat PDRM…. Dan saya adalah penjahat yang memusnahkan PDRM,” kata Musa dalam sidang akhbar disini hari ini.

Menjawab soalan oleh wartawan tentang bagaimana Ramli boleh mengumpulkan kekayaan ketika hanya memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Musa berkata Ramli “mungkin mempunyai pautan di beberapa tempat”.

“Beliau harus menjawab kepada orang awam... bagaimana dia mempunyai begitu banyak harta dan kekayaan,” kata Musa.

Musa juga menuduh bekas panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Robert Phang menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan seorang pegawai polis, dalam usaha untuk mempercepatkan projek yang disokong olehnya.

“Dia (Phang) telah mengugut pegawai ini, kalau tak komisyenkan, kamu akan ditukar tempat dalam 24 jam.

Kalau seorang awam boleh mengugut seorang pegawai polis ... Jadi berkuasalah,” tambah Musa.

Musa minggu lalu bertegas dengan pendiriannya beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa semasa 41 tahun berkhidmat dengan pasukan polis walaupun Ramli secara konsisten menuduh bekas KPN itu mempunyai kaitan dengan kongsi gelap di Johor.

Bekas KPN itu memberitahu beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan namanya.

Ramli, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), berulang kali mendakwa bekas pemimpin tertinggi polis itu mempunyai hubungan rapat dengan sindiket bawah tanah Cina semasa berkhidmat sebagai ketua polis Johor.

Ramli, bekas rakan sekerja bertukar pengkritik lantang, baru-baru ini membangkitkan khabar angin tahun 2006 yang mengaitkan Musa dengan Goh Cheng Poh atau lebih dikenali dengan nama “Tengku Goh” — dikatakan sebagai ketua kongsi gelap Johor selepas bekas KPN mendedahkan terdapat campurtangan eksekutif dalam tugas-tugas polis.

Dokumen mahkamah difailkan oleh Tengku Goh dan menjadi pengetahuan umum dalam perbicaraan sensasi pada Ogos 2007 telah menyemarakkan lagi spekulasi hubungan khas beliau dengan Musa yang sudah menggantikan Tan Sri Mohammed Bakri Omar sebagai KPN selama hampir setahun.

Dalam afidavitnya, Goh dilaporkan berkata: “Saya percaya KPN tidak diberitahu tentang penangkapan dan penahanan.”

Musa juga disiasat oleh agensi anti-rasuah kerana disyaki terlibat dengan tiga ahli sindiket perjudian haram sejurus selepas kenaikan pangkat menjadi KPN pada September 2006, akan tetapi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan telah mengarahkan fail siasatan ditutup pada Julai 2007 kerana kekurangan bukti.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi