Bahasa

Adam Adli buat laporan polis ugutan ditumbuk anggota polis

Oleh Mohd Farhan Darwis
December 23, 2011

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Aktivis Pelajar yang dipercayai menurunkan kain rentang wajah Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi tempoh hari tampil membuat laporan polis atas insiden kecaman ditumbuk dan ugutan yang diterimanya daripada seorang anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Adam Adli, 22, telah menerima ancaman ditumbuk oleh seorang anggota polis bernama Roslan Mokhtar ketika membuat laporan polis terhadap ugutan bunuh yang diterimanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman minggu lalu.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini, Adam menyatakan polis berkenaan cuba menumbuknya di hadapan anggota polis yang lain tanpa dihalang mereka.

“Jadi keterangan hari ini diambil berdasarkan insiden tersebut dan kita akan lihat sama ada anggota polis yang terlibat ini akan ambil tindakan kerana ia begitu jelas bahawa terdapat ugutan dari pihak polis,” kata peguam yang mewakili Adam, Fadiah Nadwar.

Menurut peguam daripada “Lawyer for Liberty” ini lagi, demonstrasi yang dilakukan kumpulan mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu tiada sebarang jenayah dilakukan, sebaliknya ini hanyalah satu pelanggaran norma masyarakat yang diterima masyarakat antarabangsa.

“Oleh itu, tindakan kecaman daripada kerajaan dan pihak berkuasa ini harus dihentikan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Adam menjelaskan, isu menurunkan kain rentang itu hanyalah isu yang diputarkan oleh pihak yang takut terhadap gerakan mahasiswa.

“Isu menurunkan bendera itu hanya mainan pihak yang takut dengan gerakan mahasiswa, sama dengan fitnah yang dibuat oleh Utusan Malaysia di dalam portalnya.

“SMM dengan ini menuntut Naib Ketua Umno Kepala Batas, Reezal Merican memohon maaf dalam tempoh 24 jam atas pengeluaran artikel fitnah dalam  Utusan Malaysia bertarikh 21 Disember yang mengatakan mahasiswa telah memijak bendera Perdana Menteri.

“SMM menegaskan, bendera Datuk Seri Najib hanya diturunkan dalam lima minit dan kemudiannya dinaikkan semula, tiada insiden bendera tersebut dipijak,” katanya lagi.

Menurut Adam, sekiranya Reezal tidak mengeluarkan kenyataan maaf berkenaan, mahasiswa tidak akan teragak-agak  mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Kenyataan itu jelas Adam adalah cubaan untuk memburukkan SMM dan memberikan oersepsi negatif terhadap isu yang dibawa Bebas.

SMM juga melihat kenyataan yang dikeluarkan tersebut terlalu dangkal dan hanya bersifat sentimen sokongan terhadap perdana menteri tanpa mengulas mengenai kebebasan akademik yang diutarakan mahasiswa.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi