7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Adun Jitra pilih beri sumbangan kepada veteran Umno

September 06, 2010

JITRA, 6 Sept — Sejak bermula Ramadan hingga Syawal semakin hampir, muncul banyak pihak yang memberi bantuan kepada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal tetapi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra Datuk Saad Man memilih untuk melawat dan memberi sumbangan kepada veteran Umno yang uzur.

Setakat ini, sepanjang bulan Ramadan beliau telah melawat 40 rumah bekas pemimpin Umno yang uzur di kawasan ini.

Saad berkata program itu bertujuan untuk menziarah dan bertanya khabar anggota dan bekas pemimpin Umno dalam Parlimen Kubang Pasu yang kini uzur dan tidak boleh bergerak aktif seperti sedia kala. Malah ada antara mereka yang hanya terlantar di katil dan berkerusi roda serta memerlukan penjagaan rapi oleh anggota keluarga.

“Rata-rata mereka terharu dan amat berterima kasih kerana saya dapat meluangkan masa bersama mereka dan menyampaikan sedikit sumbangan raya bagi mengurangkan bebanan keluarga untuk menyambut Hari Raya,” katanya kepada Bernama ketika melawat veteran Umno Ku Hamid Ku Sulaiman, 65, di Kampung Kemunting Baru dekat sini.

Sementara itu, Ku Hamid berkata beliau amat terkejut melihat kedatangan Saad serta anggota Umno lain yang masih mengambil berat terhadap dirinya walaupun tidak lagi aktif ekoran penyakit lumpuh yang dialaminya pada 2003 akibat dihempap buah kelapa di rumahnya.

Sejak kejadian itu Ku Hamid hanya mampu duduk di kerusi roda tanpa boleh melakukan pekerjaan. — Bernama