Bahasa

Adun Komtar minta maaf, bertegas tiada kenyataan rasis

Oleh Clara Chooi
January 14, 2011
Latest Update: January 15, 2011 02:06 am

Ng Wei Aik (kiri) bersama pemilik restoren Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamad Aliyar (dua, kanan) selepas majlis perjumpaan dan permohonan maaf kepada pemilik restoran itu hari ini.— Foto BernamaNg Wei Aik (kiri) bersama pemilik restoren Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamad Aliyar (dua, kanan) selepas majlis perjumpaan dan permohonan maaf kepada pemilik restoran itu hari ini.— Foto BernamaKUALA LUMPUR, 14 Jan — Adun Komtar Ng Wei Aik hari ini memohon maaf kepada pengusaha restoran India-Muslim berhubung insiden menyinggung perasaannya ketika serbuan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) awal bulan ini, tetapi tetap bertegas tidak pernah mengeluarkan perkataan “balik India” pada bila-bila masa.

Ng memberitahu The Malaysian Insider, beliau telah menyampaikan permohonan maaf kepada Syed Kassali Mohammed Aliyar ketika mengunjungi restorannya di Gat Lebuh Macallum pagi ini.

Wakil rakyat itu menambah permohonan maaf itu tidak bermakna beliau pernah mengeluarkan kata-kata seumpama itu.

“Saya mohon maaf atas tindakan saya ketika insiden itu memandangkan sesetengah pihak beranggapan bahawa tindakan saya tidak wajar.

“Tetapi saya mempertahankan (pendirian) saya bahawa saya tidak pernah mengeluarkan perkataan balik India,” kata beliau.

Ng menambah beliau telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Syed Kassali, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Faruk Raja Mohamed dan Kimma sendiri kerana menuduhnya mengeluarkan kenyataan berbaur rasis, semalam.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang Mohd Amir Ghazali berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Ng malam tadi dan kemudian bertemu dengan Syed Kassali untuk menawarkan diri sebagai orang tengah merungkaikan permasalahan yang kian meruncing.

“Hasil daripada pertemuan tersebut, Angkatan Muda PKR atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, dengan ini menyatakan bahawa YB Ng dan Tay Leong Seng selaku ahli MPPP dengan ini memohon maaf secara terbuka kepada Syed Kassali dan keluarganya, pekerja dan rakan-rakannya atas keterlanjuran dan tindakan agresif mereka dalam kejadian (2 Januari lalu),” kata beliau.

Katanya, Ng juga memohon maaf sekiranya ada ungkapan atau kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau dengan sedar atau tidak sedar yang menyinggung perasaan Syed Kassali, keluarganya dan rakan-rakannya pada malam tersebut.

“Akhir sekali, Angkatan Muda PKR Pulau Pinang menyeru agar selepas ini tidak ada lagi pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan meniupkan sentimen perkauman.

“Marilah kita bersama-sama hidup dalam negeri ini dengan suasana muhibah, kasih sayang dan semangat kekeluargaan yang tinggi,” kata beliau.

Semalam, Ng Wei Aik berkata beliau kesal dengan serangan bersistematik terhadap peribadinya dengan pelbagai jenis label tanpa meneliti insiden di Gat Lebuh Macallum, George Town sehingga mendesak MPPP.

Ng berkata, kemalangan melibatkan dua kereta pada 2 Januari lalu, yang hampir-hampir mendatangkan maut terhadap pelanggan-pelanggan sebuah restoran nasi kandar, menyebabkan tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh MPPP.

Awal minggu ini, Ng, yang didakwa berkata “tutup kedai, balik India” terhadap seorang pengusaha restoran nasi kandar di sini, bersedia untuk meletakkan jawatan jika ada bukti beliau mengeluarkan kenyataan berbaur rasis itu.

Minggu lalu, Kimma mendesak Ng agar memohon maaf berhubung dakwaan beliau mengeluarkan ungkapan seumpama itu 2 Januari lalu.

Faruk berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Ng, setiausaha politik kepada Ketua Menteri berbuat demikian dan menarik balik kata-kata unsur perkauman itu.

Laporan media sebelum ini menyebut, Ng mengeluarkan ungkapan itu kepada Syed Kassali, 42, ketika pasukan penguat kuasa MPPP menjalankan operasi menyita barang-barang kedai.

Ng telah menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menunjukkan rakaman video bagi mempertahankan pendirian beliau.

Dalam kenyataan hari ini, Ng mengaku bahawa beliau tidak sepatutnya mengiringi pegawai-pegawai MPPP yang memutuskan menyita premis Syed Kassali.

“Saya berjanji mulai sekarang, saya tidak akan mengiringi pegawai-pegawai majlis ketika menjalankan tugas-tugas seperti itu, yang tidak wajar untuk saya lakukan,” kata Ng lagi.

Ng menambah beliau telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum mengeluarkan kenyataan hari ini.

“Saya tidak tunduk kepada tekanan politik, tetapi saya membuat permohonan maaf sebab saya tidak mahu isu ini berterusan,” katanya lagi.

Laporan Bernama memetik Syed Kassali berkata, beliau akan berbincang dengan Kimma dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia  untuk tindakan selanjutnya memandangkan laporan polis telah pun dibuat terhadap Ng.

“Insiden ini telah mengakibatkan perniagaan saya merosot sehingga 50 peratus dan terpaksa menanggung kerugian RM30,000 sejak kejadian Ahad lepas,” katanya kepada pemberita.

 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi