Bahasa

Agenda wanita Pakatan tidak “membanggakan” kata Shahrizat

Oleh Hafidz Baharom dan Roznah AJ
September 17, 2012

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Walaupun Pakatan Rakyat (PR) bergerak untuk menawan hati sokongan tradisi Umno, pengundi wanita, ketua sayap wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) hari ini memandang ringan persaingan tersebut, dan berkata pembangkang hanya meniru mereka apabila menyedari pengundi wanita adalah sebahagian daripada daftar pengundi.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berkata, PR sudah terlambat apabila hanya melancarkan “Agenda Wanita Malaysia”, minggu lalu, inisiatif yang telah lama dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan BN telah lama melakukan perkara itu,” kata Shahrizat kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, beliau lebih “terkejut” apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyarankan peranan wanita apabila melancarkan agenda berkenaan.

“Sekarang wanita akan bertanya, adakah Anwar juga ketua wanita mereka?” katanya yang telah meletak jawatan daripada jawatan kementerian awal tahun ini berikutan kritikan terhadap dakwaan mempunyai kaitan dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudiannya memangku jawatan Shahrizat dalam kementerian tersebut.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan pemimpin Umno itu telah mengemukakan contoh “Skuad Sayang” sebagai contoh bagaimana partinya menghargai dan melindungi peranan dan kuasa wanita dalam masyarakat.

“Idea  Agenda Wanita Malaysia (AWM) hanya dicetuskan selepas pembangkang menyedari 50 peratus wanita adalah pengundi,” katanya dipetik akhbar berkenaan.

Anwar telah melancarkan Agenda Wanita Malaysia minggu lalu, dan menggesa wanita PR untuk turun ke kawasan pedalaman untuk mendapatkan sokongan yang mana merupakan kubu kuat kerajaan BN.

Agenda Wanita PR mempunyai tujuh kunci utama termasuk perubahan kerajaan dan pendidikan yang hanya boleh dilaksanakan sekiranya pembangkang membentuk kerajaan di peringkat Pusat.

The Malaysian Insider bulan lalu telah melaporkan undi wanita, yang sebelum ini hanya mengundi Umno-BN, menjadi sasaran PR dalam pilihan raya akan datang.

Pilihan raya ke-13 akan datang bakal menjadi persaingan sengit dalam sejarah dengan 12 juta pengundi berdaftar untuk menentukan pemilihan kerajaan persekutuan.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi