Bahasa

Agensi kerajaan perlu pantas, cekap dalam beri kelulusan kepada pelabur asing — Nur Jazlan

November 26, 2012

JOHOR BAHARU, 26 Nov — Persaingan sengit untuk mendapatkanpelaburan asing memerlukan agensi-agensi kerajaan bertindak lebih cekap danpantas di dalam memberikan kelulusan kepada pelabur yang mahu menanam modal di negara ini.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata agensi kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan, perlu konsisten di dalam aspek kepantasan kelulusan pelaburan dan tidak melambat-lambatkannya.

"Di dalam dunia persaingan (untuk menarik pelaburan asing), modal boleh dipindah pada bila-bila masa. Kerajaan kena bertindak cepat dan cekap supaya kehendak pelabur dapat dilaksanakan, jika tidak, mereka akan mencari tempat lain di mana kerajaan terbabit lebih cepat untuk meluluskan projek mereka itu."

"Pelabur-pelabur asing kini mempunyai banyak pilihan, mereka boleh pergi ke Vietnam, Kemboja mahu pun Laos. Kita mempunyai banyak persaingan dan kita perlu bertindak cepat dan cekap supaya mereka (pelabur) datang ke Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nur Jazlan, kerajaan perlu konsisten dengan janjinya untuk bertindak pantas dalam memberikan kelulusan yang cepat terhadap pelabur-pelabur yang mahu melaksanakan projek pelaburan mereka di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan media asing bahawa sebuah syarikat petrokimia Taiwan menarik diri daripada melabur berbilion ringgit di Pengerang berikutan masalah birokrasi membabitkan isu tanah.

Mengenai peningkatan pelaburan daripada Singapura di Iskandar Malaysia akhir-akhir ini pula, beliau berkata, ia adalah suatu perkembangan yang amat baik kerana ia secara tidak langsung akan memakmurkan lagi ekonomi Johor Baharu dan Johor keseluruhannya.

Rakyat di Johor Baharu dan yang tinggal di kawasan-kawasan lain di dalam Iskandar Malaysia katanya, akan mendapat manfaat hasil pelaburan asing itu.

Nur Jazlan juga adalah anggota Parlimen Pulai, yang turut termasuk di dalam wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

"Pelaburan asing itu akan memakmurkan lagi ekonomi rakyat di Johor Baharu dan di Iskandar Malaysia. Rakyat tempatan akan menerima keuntungan (daripada pelaburan terbabit)," katanya.

Bagi kerajaan Singapura yang amat sensitif tentang isu keselamatannya pula kata Nur Jazlan, kemakmuran ekonomi di Johor Baharu dan Iskandar Malaysia juga akan menyumbang kepada keselamatan republik itu secara tidak langsung.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi