Bahasa

Agensi Medan mahu pelajari cara Malaysia majukan masyarakat setempat

May 23, 2013

MEDAN, Indonesia, 23 Mei — Kelompok Informasi Masyarakat (KIM) Kota Medan di sini mahu mempelajari cara Malaysia memajukan masyarakat setempat terutamanya di luar bandar melalui pelbagai inisiatif peningkatan sosio-ekonomi bidang pertanian dan penghasilan makanan.

Ketua KIM Kota Medan, Sutrisno, berpendapat kerjasama erat antara KIM di Indonesia dan Komuniti 1Malaysia di Malaysia dapat menjadi pemangkin penting bagi merealisasikan usaha itu.

“Kami baru berdiri (ditubuhkan) sekitar tiga tahun sedangkan di Malaysia usaha membangun masyarakat setempat ini dilakukan berpuluh tahun lama dengan pelbagai modelnya seperti Komuniti 1Malaysia, Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

“Jadi kami mahu bertukar idea dengan Malaysia bagi memajukan KIM dan dalam masa sama masyarakat dua negara ini dapat melangkah maju ke depan secara bersama.”

Beliau terdahulu menerima kunjungan delegasi tujuh anggota Komuniti 1Malaysia dan delegasi enam anggota Perwakilan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Brunei di tapak projek KIM Kota Medan di sini.

Mempunyai objektif yang hampir serupa dengan Komuniti 1Malaysia, KIM merupakan inisiatif masyarakat setempat Indonesia dengan sokongan daripada pemerintah negara itu bagi melaksanakan pelbagai projek peningkatan sosio-ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.

Sutrisno berharap kerjasama dengan Komuniti 1Malaysia juga dapat membantu dalam inisiatif pengusaha KIM Kota Medan menembusi pasaran di Malaysia juga sebaliknya untuk pengusaha di Malaysia.

“Barangan di Indonesia terutamanya kerajinan tangan (kraftangan) harganya lebih murah dengan kualiti yang tinggi, maka mudah bagi barangan kami diterima di Malaysia.

“Kami juga mahu melihat barangan daripada pihak Malaysia yang punyai potensi bagi KIM di sini pasarkan di sekitar Indonesia untuk menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata pusat KIM Kota Medan yang terletak kira-kira 21 kilometer dari bandar Medan sehingga kini mempunyai 15 pengusaha yang bernaung di bawahnya antaranya penternak ikan, petani sayuran dan pengusaha barangan hiasan.

Pengusaha kraftangan yang bernaung di bawah KIM Kota Medan, Khairul Buhari, mahu mempelajari cara penghasilan kraftangan bagi dipasarkan secara komersil seperti yang telah dilakukan pengusaha di Malaysia terutamanya di bawah agensi Kraftangan Malaysia.

“Caranya amat menarik sekali saya lihat, daripada cara penghasilan yang lebih moden kepada pemasarannya yang lebih berkesan,” katanya yang mengusahakan kraftangan barangan perhiasan daripada tempurung kelapa dan juga rempah ratus seperti kayu manis dan buah pelaga.

Eka Kuswardani yang menghasilkan kraftangan kristal berkata cara pengusaha kecil di Malaysia menembusi pasaran lebih besar seperti di pasaraya dan gedung membeli-belah terkemuka perlu dipelajari pengusaha KIM.

“Saya bertapak sedikit demi sedikit dan kini mampu memenuhi permintaan yang lebih besar, jadi perlu bagi saya pelajari cara mendapatkan pasaran yang lebih besar hingga akhirnya kita dapat menembusi pasaran antarabangsa seperti ke Malaysia juga negara ASEAN yang lain,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi