Bahasa

Ahli ekonomi ramal Pakatan menang PRU 13

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Pakatan Rakyat (PR) akan menewaskan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 menurut perkiraan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Dalam laporan The Straits Times Singapura, perkiraan Azrul mendapati BN hanya mampu menang diantara 97 heingga 107 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan yang dipertandingkan, tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Tetapi ini juga bermakna PR hanya menjadi kerajaan dengan majoriti tipis, jauh dari apa yang pernah dinikmati oleh BN satu masa dahulu.

Penemuan ini dianggap paling mungkin dalam pembentangan dilakukan oleh jurubank itu di Regional Outlook Forum, Singapura semalam dengan mengambilkira faktor kaum dan demografi.

Kemudian, Azrul meramalkan kejatuhan akibat dari kemenangan PR, dengan pasaran saham bersedia untuk bertindak balas secara “spontan” serta tempoh lanjutan ketidakstabilan dilihat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan “sabotaj ekonomi” oleh perniagaan dan perkhidmatan awam yang berkait dengan BN.

Kerajaan BN masih mempunyai masa untuk melakukan sesuatu bagi menjamin kemenangan melawan pembangkang paling tersusun pada PRU yang mesti diadakan selepas akhir April tahun ini.

Dalam Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelbagai pemberian yang memberikan manfaat dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang PRU.

Ini termasuklah pemberian pusingan kedua RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada golongan berpendapatan rendah, pengembangan pemberian tersebut kepada golongan muda belum berkahwin berpendapatan bawah RM3,000 sebulan menerima sebanyak RM250.

Awal minggu ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pemberian tersebut dijadikan tetap dan dinaikkan kepada RM1,000 jika BN menang PRU.

Bantuan lain termasuklah voucher buku RM500 dan rebat untuk telefon pintar sebanyak RM250 bagi pelajar.

Populariti Najib jatuh dua mata peratusan dari 65 peratus pada November kepada 63 peratus baru-baru ini dalam tinjauan terbaru oleh badan tinjauan bebas Merdeka Center.

Pusingan sebelumnya pemberian BR1M telah meningkatkan sokongan untuk Najib, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang merupakan penerima utama.

Tetapi "Himpunan Kebangkitan Rakyat" yang disokong PR esok memberikan risiko terhadap kerja-kerja BN, sepertimana perhimpunan Bersih 28 April 2012 dikatakan menjadi sebab menagapa Najib tidak mengadakan pilihan raya mengejut tahun lalu.

Najib mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya 2013 bila-bila masa sebelum 27 April, dimana Parlimen akan dibubarkan dan secara automatiknya pilihan raya akan dijalankan.

 

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.