Bahasa

Ahmad mengaku tidak bersalah hina Sultan Johor, dibebaskan dengan ikatjamin RM10,000

Penyokong Ahmad Abdul Jalil semasa perhimpunan aman menggesa pembebasannya, yang hari ini didakwa menghina Sultan Johor di Facebook. — Gambar oleh Saw Siow FengPenyokong Ahmad Abdul Jalil semasa perhimpunan aman menggesa pembebasannya, yang hari ini didakwa menghina Sultan Johor di Facebook. — Gambar oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR, 8 Nov — Ahmad Abd Jalil didakwa di mahkamah Johor Baru hari ini dengan dua pertduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia di atas dakwaan menghina Sultan Johor di Facebook dan bakal menghadapi denda RM 50,000 dan penjara maksimum setahun atau jika disabitkan kesalahan.

Menurut peguamnya Mohd Radzlan Bin Jalaludin, selepas selesai proses jamin, Ahmad dibawa oleh keluarganya ke Kuala Lumpur.

“Ahmad telah didakwa diatas dua pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Beliau mengaku tidak bersalah dan diikat jamin dengan RM5,000 bagi setiap pertuduhan,” kata beliau ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider petang tadi.

Pertuduhan pertama berbunyi:

“Bahawa kamu pada 10hb Oktober 2012, jam lebih kurang 6.00 petang di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontigen Johor di dalam Daerah Johor Bahru Selatan, didalam Negeri Johor Darul Takzim, telah memuatnaikkan satu status di akaun Facebook yang didaftarkan atas nama Zul Yahya yang tertera perkataan menghina DYMM Sultan Johor dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama.”

Pertuduhan kedua pula berbunyi:

Pertuduhan:

Bahawa kamu pada 21 Oktober 2012 jam lebih kurang 3.00 petang di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Jalan Bacang, Kampung Pasir, Tampoi di dalam Daerah Johor Bahru Utara, di dalam Negeri Johor Darul Takzim telah memuatnaikkan satu status di akaun Facebook yang didaftarkan atas nama Zul Yahya yang tertera perkataan menghina DYMM Sultan Johor, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama.

Beliau telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku tidak bersalah.

Seorang lagi peguam Ahmad, Haijan Omar memberitahu The Malaysian Insider bahawa sebutan kes ini akan didengar pada 28 November 2012 di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 Johor Bahru.

“Peguam Ahmad, En Radzlan akan membuat bantahan awal terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Tuan Zamri Bin Bakar pada hari tersebut,” katanya lagi.

Ahmad, juruukur kuantiti berusia 27 tahun telah ditangkap di pejabatnya di Cheras pada 2 November oleh polis Johor kerana didakwa menyiarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Istana Johor di Facebook.

Semalam, Timbalan Pengarah CID Johor Asisten Komisioner Nor Azizan Anan menafikan Ahmad dipaksa untuk membuat pengakuan jenayah semasa berada dalam siasatan polis.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.