Bahasa

Ahmad Shabery: Hasihin Sanawai wira Negara, menang perak di Paralimpik

September 04, 2012

KUALA TERENGGANU, 4 Sept — Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan atlet paralimpik Hasihin Sanawi sebagai wira negara dan mengucapkan syabas kepada beliau kerana memenangi pingat perak di Sukan Paralimpik London.

Beliau cukup berbangga atas kejayaan atlet kurang upaya (OKU) Malaysia ini yang berjaya meraih pingat dalam acara memanah recurve semalam dan mahu kontinjen negara melipatgandakan usaha memperoleh tambahan pingat.

"Syabas kepada Hasihin, saya cukup berbangga di atas kejayaan beliau dan pasti ia menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Minggu Mesra Siswa pelajar baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Hasihin hanya kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan setelah terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir acara recurve individu lelaki di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

Ahmad Shabery berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan prestasi atlet OKU negara dalam sukan paralimpik kerana pada kejohanan di Beijing dahulu, Malaysia hanya menang pingat gangsa.

Menteri itu berkata pihak kementerian akan menyambut kepulangan Hasihin sebagai wira kerana mengharumkan nama negara.

Ditanya mengenai insentif tambahan yang akan diberi kepada atlet paralimpik yang berjaya membawa pulang pingat di temasya sukan itu, Ahmad Shabery berkata beliau akan membincangkannya di peringkat Kabinet.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pusat latihan paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur akan mula beroperasi akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan.

"Ia sepatutnya siap November lepas, tetapi mempunyai sedikit kelewatan berpunca soal cuaca dan masalah teknikal. Apabila siap nanti, pusat latihan paralimpik itu akan menjadi satu daripada fasiliti yang terbaik di Asia Tenggara," katanya. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi