AirAsia diminta berpegang keputusan bertulis pindah ke Terminal 1 KKIA
KOTA KINABALU, 19 Mac — Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berharap AirAsia berpegang kepada keputusan bertulis mereka kepada Kementerian Pengangkutan bahawa syarikat itu akan memindahkan operasi penerbangan menggunakan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Beliau berkata terminal yang canggih dengan kemudahan moden itu mampu memenuhi keperluan semua operasi penerbangan komersial dan boleh menampung sehingga 14 juta penumpang.
Abdul Rahim berkata pemindahan AirAsia ke Terminal 1 akan membolehkan hubungan penerbangan yang lebih baik kepada penumpang.
Ia juga boleh mengelak penumpang terlepas penerbangan dan mengurangkan bebanan kos kepada penumpang kerana terpaksa menyewa teksi ke Terminal 2 atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya semasa membuat penerbangan lanjut, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tambahan pula, katanya segala reka bentuk dan kemudahan di Terminal 1 seperti pemunggahan penumpang tanpa ''aerobrige'' telah disediakan seperti yang diperlukan.
Oleh itu, Abdul Rahim berkata tidak ada sebab AirAsia tidak mahu berpindah ke Terminal 1 yang beliau percaya tidak akan menjejaskan operasi mereka malah mungkin lebih efisien.
Sebelum ini, AsiaAsia merayu kepada Kementerian Pengangkutan untuk terus kekal di Terminal 2 KKIA walaupun mereka telah memberi komitmen untuk memindahkan operasi ke Terminal 1 pada pertengahan Jun tahun ini.
Februari lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu teragak-agak untuk berpindah dari Terminal 2 ke Terminal 1 KKIA yang baharu sahaja diperbesarkan kerana kosnya akan meningkat, sekali gus memaksanya mengurangkan penerbangan dan menyebabkan Sabah kehilangan kira-kira sejuta pelancong.
Lapangan terbang baharu yang bernilai RM1.6 bilion itu dibina bagi menampung keperluan pertumbuhan syarikat-syarikat penerbangan. — Bernama
KOTA KINABALU, 19 Mac — Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berharap AirAsia berpegang kepada keputusan bertulis mereka kepada Kementerian Pengangkutan bahawa syarikat itu akan memindahkan operasi penerbangan menggunakan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).




