Bahasa

AirAsia nafi dakwaan minta MAHB bina KLIA2 lebih besar

December 05, 2011

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Syarikat penerbangan tambang murah hari ini menafikan pihaknya meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyediakan terminal KLIA2 lebih besar, yang kini kosnya dilaporkan mencecah RM3.6 hingga RM3.9 bilion – meningkat sekali ganda  berbanding anggaran asal.

Dalam respons menjawab kenyataan MAHB dikeluarkan minggu lalu, AirAsia menegaskan, pihaknya telah lama memberi amaran kepada MAHB bahawa kos pembinaan terminal KLIA2 boleh meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion satu hari nanti.

“Menerusi surat bertarikh 30 November 2009, AirAsia secara spesifik telah menyebut dan memberi MAHB amaran bahawa lokasi semasa di KLIA Barat tidak sesuai untuk pembinaan dan kawasan itu sudah pasti lebih mahal berbanding bajet RM2 bilion yang telah dirancang.

“AirAsia juga telah membuat anggaran bagi MAHB bahawa kos pembinaan akan meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion. Kesemua ini sudah dibangkitkan dalam surat bertarikh 30 November 2009,” kata AirAsia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Syarikat itu dijadual mengadakan sidang media khas esok.

Selasa lalu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad berkata terminal penerbangan tambang rendah yang baru KLIA2, dengan kemudahan kelas dunia untuk mengendalikan 45 juta penumpang setiap tahun, dijangka menelan kos antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion dan akan memulakan operasi pada April 2013.

Bashir juga berkata jambatan udara akan dipasang untuk kegunaan semua penumpang termasuk mereka yang kurang upaya, wanita mengandung dan kanak-kanak.

“Kami berharap syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA2 akan menyokong keputusan kami dengan menggunakan jambatan udara memandangkan berdasarkan kos kiraan hanyalah 25 sen setiap penumpang dan orang awam telah menunjukkan kesanggupan untuk membayar bagi penggunaan jambatan udara,” kata beliau.

Bashir berkata kerja-kerja ke atas KLIA2 itu, meliputi kawasan seluas 257,000 meter persegi, yang bermula Oktober 2009, kini telah pun siap 42 peratus dan akan mempunyai 68 balai berlepas. Ia adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung penumpang kos penerbangan tambang rendah seperti yang dikehendaki oleh standard industri.

Beliau juga berkata landasan ketiga yang baru dengan kelebaran empat kilometer kini sedang dibina untuk KLIA2, yang akan mampu menerima pesawat A380, pesawat penumpang terbesar dunia.

KLIA2 hanyalah 1.5 kilometer dari bangunan terminal utama KLIA, dan jejambat/laluan atas yang baharu sedang dibina bagi menghubungkan jalan utama dari KLIA ke KLIA2, yang bermakna KLIA2 adalah lebih dekat berbanding LCCT.

Selain itu, AirAsia menjelaskan, siasatan pihaknya sendiri menunjukkan anggaran kos membina KLIA2 hanyalah sekitar RM700 juta berbanding kos asal MAHB RM2 bilion.

Malah menurut AirAsia, surat Bashir bertarikh 9 Ogos lalu kepada Pengerusi AirAsia Tan Sri Rafidah Aziz mengesahkan bahawa terminal KLIA2 sudah cukup memadai untuk menampung sekitar 30 juta penumpang setahun.

“Angka ini tidak pernah diubah secara rasmi oleh AirAsia mahupun MAHB sejak 9 Ogos 2011,” katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, bersandarkan surat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia kepada Pengarah Urusan MAHB pada 15 Mac 2010, pihak berkuasa lapangan terbang itu mengesahkan bahawa projek berkenaan akan siap dibina bulan ini.

“Mengambil kira (tempoh) ‘buffer’ tiga bulan, pembinaan boleh selesai menjelang Mac 2012. Kes paling buruk ialah pertengahan 2012.

“Sekali lagi, kos yang disebutkan adalah RM2.5 bilion. AirAsia menyebut dalam suratnya bahawa AirAsia tidak harus dipertanggungjawabkan bagi kenaikan kos ekoran penyertaan keperluan-keperluan ini,” katanya lagi.

Mengenai sistem pengendalian bagasi pula, tambah kenyataan itu, surat Pengerusi AirAsia X kepada Pengarah Urusan MAHB bertarikh 18 Ogos lalu telah mengetepikan keperluan sistem pengendalian bagasi automatik sepenuhnya.

“Dalam surat ini, AirAsia mengesahkan bahawa (sistem) BHS separa automatik sudah mencukupi berbanding BHS automatik sepenuhnya.

“Lembaga MAHB secara unilateral telah memutuskan (penggunaan) BHS automatik sepenuhnya untuk menampung 45 hingga 60 juta penumpang, yang sekali lagi tidak dipersetujui oleh AirAsia,” kata kenyataan hari ini.

Kenyataan AirAsia ini juga berkata, pihaknya dan MAHB telah bersetuju bahawa tiada jambatan udara, sebaliknya hanya ‘ramp’ akan dipasang di KLIA2.

Berkenaan dengan landasan pula, AirAsia berkata surat pihaknya bertarikh 6 Julai 2010 kepada MAHB mengingatkan keperluan membina laluan sepanjang 3,000 meter minimum, yang awalnya hendak disediakan utnuk pesawat A330, yang dikendalikan oleh syarikat AirAsia X.

“MAHB, sejak itu telah memendekkan landasan menjadi 2,750 meter, yang hanya akan menampung pesawat-pesawat A320, tanpa berunding dengan AirAsia.

“AirAsia mengetahui perkara secara tiba-tiba dan dengan segera menulis kepada MAHB meminta agar membetulkan keadaan,” kata kenyataan itu tetapi menambah, langkah itu tidak wajar dianggap sebagai permintaan tambahan daripada pihaknya memandangkan keperluan asal ialah 3,000 meter.

“Oleh itu tiada kos tambahan perlu wujud,” katanya lagi.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi