Bahasa

Ali Hamsa: PPA1M sedia rumah mampu milik untuk penjawat awam

April 09, 2013

Datuk Seri Dr Ali HamsaDatuk Seri Dr Ali Hamsa

JOHOR BARU, 9 April — Kerajaan akan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tidak lama lagi yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata perumahan itu akan dibina di atas tanah kerajaan dan ditawarkan pada harga antara 20 dan 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Sebagai projek perintis, sebanyak 10,000 unit kediaman berkenaan akan dibina di Putrajaya dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

“Kita juga akan mencari tanah-tanah milik kerajaan yang sesuai di bandar-bandar besar yang lain termasuk di Johor Baru untuk tujuan tersebut,” katanya pada Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Johor di Pusat Islam, di sini hari ini.

Katanya PPA1M bertujuan membantu penjawat awam membeli rumah di bandar besar yang pada masa kini berada di luar jangkauan kuasa membeli mereka.

“Harga rumah mampu milik akan ditawarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi serta dilengkapi dengan segala kemudahan asas yang diperlukan,” katanya.

Beliau berharap PP1AM akan menyuntik semangat penjawat awam di negara ini untuk bekerja dengan lebih gigih.

Mengenai nasib kira-kira 50,000 pekerja berstatus kontrak di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan

Kebudayaan, Ali berkata kerajaan telah bersetuju menyambung kontrak mereka yang tamat pada 31 Dis nanti untuk tempoh setahun lagi.

Semasa tempoh itu, satu jawatankuasa akan membuat kajian menyeluruh mengenai perjawatan kontrak dan hasilnya akan dibentang kepada kerajaan.

Majlis hari ini yang dihadiri kira-kira 2,000 penjawat awam itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi