Bahasa

Ali Rustam: Kaji secara menyeluruh rungutan rakyat terhadap rasionalisasi subsidi - Bernama

Kerajaan perlu mengkaji secara spesifik dan menyeluruh rungutan rakyat terhadap rasionalisasi subsidi bagi mengenalpasti kumpulan yang betul-betul layak menerima faedah tersebut.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) berkata menerusi usaha itu, golongan sasar yang tepat untuk disalurkan subsidi, dapat dikenalpasti.

"Siapa yang merungut, siapa yang rasa kesannya, (kita) kaji rungutan tersebut dan lihat adakah golongan tersebut layak mendapat subsidi," katanya.

Dengan itu, bantuan bukan saja dapat disalurkan dengan tepat, malah rungutan tidak berasas dapat diatasi.

Ali berkata setakat ini rungutan bahawa harga barang meningkat naik berikutan pengurangan subsidi minyak, hanyalah sekadar persepsi dan tidak terbukti.

Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dilaporkan berkata tidak banyak aduan yang diterima kementeriannya berkaitan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan ekoran kenaikan harga petrol RON95 dan diesel.

Keadaan ini membuktikan pengurangan subsidi bahan api yang diumumkan kerajaan
sejak 3 September lepas tidak memberi implikasi besar terhadap kos operasi peniaga.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan pelbagai subsidi kepada rakyat walaupun sebahagian daripada penerima manfaat itu tidak memerlukan bantuan tersebut.

"Duit subsidi yang kita dapat jimatkan itu, kita salurkan terus kepada golongan yang memerlukannya, jadi tidaklah mereka yang berpendapatan beratus ribu, yang bukan warganegara turut menikmati subsidi.

"Lebih baik kita salurkan terus kepada golongan susah, pemandu teksi, nelayan dan pengusaha gerai. Bantuan kepada murid sekolah juga misalnya, boleh ditambah. Begitu juga bantuan untuk golongan OKU, dialisis, bantuan perumahan. Kita salurkan terus kepada kumpulan sasaran," katanya.

Kerajaan juga mengumumkan penjimatan RM3.3 bilion setahun menerusi pengurangan subsidi bahan api itu akan digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan projek-projek infrastruktur. – Bernama, 12 September, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.