Bahasa

Aliran keluar pelaburan tinggi tidak bermakna pelabur hilang keyakinan, kata Mustapha

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapha Mohamed (gambar) hari ini menegaskan langkah syarikat tempatan yang banyak melabur di luar negara tidak bermakna mereka hilang keyakinan terhadap pasaran dalam negara.

Mustapha mengakui terdapat corak peningkatan aliran pelaburan keluar sepanjang tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini dengan memberikan contoh agensi pelaburan negara seperti Khazanah Nasional Bhd, institusi kewangan seperti Maybank dan syarikat perladangan sebagai contoh syarikat yang telah melabur di luar negara.

“Ia tidak bermakna Khazanah hilang keyakinan ke atas Malaysia,” kata beliau merujuk kepada pegangan syarikat tersebut dalam penyenaraian IHH Healthcare Bhd, kumpulan yang juga menguruskan hospital di Turki.

Di samping itu, Mustapha menyifatkan langkah syarikat tempatan yang melabur di luar negara adalah suatu perkara positif memandangkan ia memperlihatkan perkembangan dan kemajuan syarikat tempatan yang berkemampuan untuk menjalankan perniagaan di luar negara.

“Dalam kata lain, ia mencerminkan pertumbuhan syarikat-syarikat Malaysia...,” kata Mustapa pada majlis pembentangan Prestasi Pelaburan 2013 di ibu kota.

Dalam pembentangan laporan itu lagi, Mustapha juga berkata Malaysia mencatat jumlah pelaburan yang tertinggi sejak 2006 pada tahun 2012 dengan jumlah pelaburan keseluruhan RM162.4 bilion; pelaburan dalam negara RM127.6 bilion dan pelaburan asing RM 34.8 bilion.

“Ia adalah jumlah pelaburan tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2012.

“Jumlah ini melibatkan 6, 442 projek dan dijangka menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 182, 841,” ujar beliau lagi.

Menurut Mustapha, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang tertinggi daripada jumlah pelaburan tersebut sebanyak RM117.6 bilion, diikuti sektor pengeluaran RM41 bilion dan sektor sampingan (minyak dan gas) sebanyak RM3.8 bilion.

Mustapha juga meramalkan ekonomi negara akan terus meningkat dan terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara memandangkan kedudukan Malaysia yang baik di kalangan negara dunia.

Malaysia merupakan antara 10 negara menarik bagi destinasi FDI yang dikeluarkan oleh (A.T. Kearney FDI Confidence Index), kedudukan ke-12 dalam kemudahan menjalankan perniagaan (World Bank Doing Business 2013 Report), kedudukan ke-14 negara paling berdaya saing dalam ekonomi secara keseluruhan (IMD World Competitiveness Yearbook 2012) dan kedudukan ke-25 negara paling berdaya saing seluruh dunia (WEF Global Competitiveness Report 2012-2013).

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.