Bahasa

Amanah bakal wujud tabung yayasan pendidikan

Oleh Mohd Farhan Darwis
April 09, 2012

KUALA LUMPUR, 8 April — Di sebalik perbalahan berhubung cadangan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) hari ini mengumumkan pertubuhan itu akan mewujudkan tabung yayasan pendidikan demi memudahkan pembiayaan pendidikan untuk masa depan kanak-kanak di negara ini.

“Amanah mencadang idea ini supaya dapat mengumpulkan wang bagi membiayai pelajaran anak-anak di masa hadapan,” kata presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), di sini.

Beliau yang dikenali sebagai Ku Li menjelaskan, tabung tersebut merupakan inisiatif yang akan mengurangkan bebanan ibu bapa demi membiayai pendidikan anak-anak mereka.

“Ibu bapa akan menabung di dalam tabung tersebut, dan Amanah akan melaburkan simpanan mereka itu. Keuntungannya akan dimasukkan ke dalam akaun mereka.

“Wang akan dilabur, dan Amanah memberi jaminan tidak akan berlaku kebocoran dan ketirisan terhadap simpanan tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau, dengan kadar kos pendidikan yang semakin meningkat, kewujudan tabung tersebut adalah jalan penyelesaian untuk keluarga yang berpendapatan rendah.

“Seperti mana juga kos kesihatan yang semakin tinggi, kita perlu cari jalan untuk meringankan beban ditanggung rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, menurut Ku Li, perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan ahli pertubuhannya itu.

“Kami akan membuat kajian lanjut dan memerlukan kebenaran daripada kerajaan untuk ibu bapa mendepositkan duit untuk pendidikan anak-anak mereka.

“Sebaik sahaja ahli jawatankuasa kami selesai menjalankan tugas, kami akan umumkan perkara itu,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan perbalahan berhubung PTPTN oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ku Li berpendapat, kedua-dua pemimpin itu mempunyai asas mereka membuat kenyataan sedemikian.

“Kedua-dua mereka ada asas. RM43 bilion bukan jumlah yang sedikit.

“Kami rasa pendidikan itu perlu dan kos pendidikan semakin meningkat, sebab itu kami tubuhkan tabung yayasan ini untuk cari jalan penyelesaian,” katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi