Bahasa

Amanah diketuai Ku Li dilancar Jumaat, sandar amanat Tunku

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang akan diketuai oleh veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah, yang akan bergerak bagi mengembalikan semangat jati perjuangan kemerdekaan dengan enam objektif, akan dilancarkan Jumaat ini.

Surat jemputan pelancaran yang diterima media menyebut Amanah diwujudkan dengan matlamat mahu menghidupkan legasi “Amanat Merdeka Bapa Malaysia” selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh (gambar) yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” akan mengetuai Amanah sebagai presiden.

Difahamkan akan ada lapan ahli jawatankuasa mewakili pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara.

Tengku Razaleigh yang merupakan bekas menteri kewangan dan naib presiden Umno seringkali menimbulkan perkara-perkara yang menjadi teras objektif Amanah dalam ucapan dan kenyataan media beliau sejak kebelakangan ini.

Beliau kini merupakan ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang.

“Amanat Merdeka Bapa Merdeka menyebut bahawa jika kita mahu bersatu sebagai sebuah keluarga di bawah satu bumbung bernama Malaysia, kita mesti jujur antara satu sama lain — Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Siam dan lain-lain — Muslim, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya,” kata surat jemputan media.

Ahli jawatankuasa pusat Amanah Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, “idea ini diketengahkan oleh Tengku Razaleigh sendiri pada satu mesyuarat baru-baru ini dengan memfokus pada mesej kemerdekaan yang disampaikan oleh (Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama Almarhum) Tunku Abdul Rahman.”

“Pertubuhan ini mahu menekankan soal perpaduan di kalangan rakyat, agar isu perpecahan antara lain tidak menjadi semakin serius,” kata beliau.

Katanya, senarai ahli jawatankuasa kepimpinan Amanah akan diumumkan pada hari pelancaran Jumaat ini.

“Mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang disegani dalam masyarakat kita... mereka terdiri daripada ahli-ahli politik, sosial dan usahawan, ia barisan kepimpinan campuran mewakili semua lapisan masyarakat,” kata Wan Saiful.

Difahamkan pihak penganjur melancarkannya menjelang ulang tahun hari kemerdekaan yang jatuh pada 31 Ogos. Negara menyambut ulang tahun ke-54 akhir bulan depan.

Keseluruhannya, Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.

Selain itu Amanah juga bertujuan memperakui, menegakkan semula dan menghormati kedaulatan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia, memastikan institusi-institusi kebangsaan menghormati dan mempertahakan undang-undang, prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.

Ia juga bersandarkan tujuan menyokong kerajaan dan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, berdaya saing dan berkesan, bebas rasuah dan kronisme, bersih dan jujur, adil dan amanah yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.