Bahasa

Amaran Dr M: Perubahan akan sekat kemajuan ekonomi

Mahathir juga mengecam pembangkang masih lagi gagal untuk menjadi sebuah kerajaan yang kukuh hingga kini. – Gambar failMahathir juga mengecam pembangkang masih lagi gagal untuk menjadi sebuah kerajaan yang kukuh hingga kini. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 31 Jan—Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perubahan seperti  dikatakan oleh pembangkang bukanlah  terbaik untuk Malaysia kerana ia hanya akan membantutkan kemajuan ekonomi yang cuba dibawa oleh kerajaan.

Mahathir menegaskan berbeza dengan negara lain, Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak pernah bertukar pemerintahan sejak mencapai kemerdekaan dan menggambarkan perubahan kerajaan bakal memberi kesan teruk terutamanya dari segi ekonomi  khususnya.

“Malaysia tidak pernah bertukar pemerintahan sejak Merdeka.

“Oleh sebab itulah negara terus-menerus mencapai kemajuan sehinggalah sekarang ini,” kata beliau dalam satu forum anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di ibu kota hari ini.

Beliau turut berkata walaupun negara sudah bertukar perdana menteri sebanyak lima kali, setiap pemimpin baru tersebut adalah masih dikalangan parti pemerintah maka hala tuju negara masih dilandasan yang tepat.

“Walaupun Malaysia bertukar perdana menteri, hala tuju negara masih lagi sama.

“Malahan kita berjaya mengecapi kejayaan dan menjadi sebuah negara yang membangun,” tambah mantan perdana menteri itu lagi.

Mahathir juga mengecam pembangkang walaupun berjaya memenangi lima negeri pada pilihan raya 2008 lalu, mereka masih lagi gagal untuk menjadi sebuah kerajaan yang kukuh hingga kini.

“Mereka (pembangkang) memenangi lima negeri pada pilihan raya lalu tetapi masih lagi tidak dapat menjadi sebuah kerajaan yang kukuh malahan antara mereka juga terdapat perbezaan.

“Mereka tidak dapat mencapai persetujuan bersama dalam polisi malahan tiada persefahaman dikalangan mereka,”ujar beliau lagi.

“Perubahan yang radikal bukan mudah.

“Rakyat perlu membayarnya dengan harga tinggi. Idea perubahan memerlukan asas yang kukuh,” kata beliau lagi.

Beliau turut memberikan contoh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang melaungkan slogan perubahan tetapi hingga kini negara besar dunia tersebut masih bergelut untuk mengembalikan kekuatan ekonomi mereka serta gagal menunaikan janjinya seperti menutup kem tahanan Guatanamo Bay dan masih terdapat lagi mereka yang ditahan.

Disamping itu, Mahathir juga mengkritik Pakatan Rakyat (PR) yang cuba membawa sistem dua parti dan meramalkan perkara tersebut tidak akan berhasil jika dipraktikkan di Malaysia.

“Sistem dua parti tidak akan berjaya di Malaysia.

“Sebarang perubahan hanya akan membawa kemusnahan kepada seluruh negara,” kata beliau lagi.

Pada 17 Januari lalu, Mahathir dalam satu forum bertajuk “Masa Depan Melayu dan Islam Selepas Pilihan Raya Ke-13” menekankan tanpa kemenangan majoriti besar 2/3 sesebuah kerajaan tersebut masih dianggap lemah serta menambah kerajaan terpaksa mentadbir dalam rasa takut akibat daripada situasi tersebut.

Menurut Mahathir lagi, akibat daripada kerajaan yang lemah telah menyebabkan orang ramai kurang yakin dengan kepimpinan sedia ada serta berada dalam keadaan takut jika melakukan kesilapan walaupun berjaya memenangi pilihan raya lalu.

Menjelang pilihan raya tidak lama lagi tahun ini, pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Umno yang dipimpinnya berhadapan ujian paling getir sejak kemerdekaan terutamanya apabila pembangkang membangkitkan pelbagai isu kontroversi melibatkan pemimpin politik dalam Umno.

PRU ke 13 dijangkakan sebagai paling sengit dalam sejarah bagi Barisan Nasional kerana buat pertama kalinya perlu berhadapan dengan pembangkang yang paling tersusun.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.