Ambiga: Bersih kuasa rakyat, bukan guling kerajaan
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Gerakan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak merancang untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi mahu kuasa rakyat diperkukuhkan, kata ketuanya Datuk Ambiga Sreenevasan.
Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkali-kali mengatakan bahawa perhimpunan Bersih ketiga yang berlangsung pada 28 April lalu adalah satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan, satu tuduhan yang ditolak oleh Ambiga.
“Apa yang kami mahu adalah demokrasi pelbagai parti, di mana, setiap dua atau tiga tahun sekali parti yang memerintah bertukar.
“Kami tidak kisah sekiranya BN kembali memerintah tetapi sekiranya parti itu memikirkan bakal kehilangan kuasa, mereka akan menjadi lebih baik.
“Ini soal kuasa dikembalikan kepada rakyat.
“Ini soal rakyat yang menentukan,” kata Ambiga (gambar) lagi.
Bersih telah melobi pentadbiran Najib agar menguatkuasakan perubahan sistem pilihan raya, termasuk membersihkan daftar pemilih sebelum pilihan raya yang tempoh tamat penggal ini berakhir lagi sembilan bulan.
Putrajaya telah berikrar untuk melakukan perubahan itu selepas demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu, menyebabkan pentadbiran Najib menerima respon negatif di samping dituduh melengah-lengahkan proses perubahan itu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ia memakan masa lama.
Ambiga juga menyelar BN kerana memburuk-burukkan kumpulan pemerhati pilihan raya itu, dengan yang terkini risalah Anti Bersih diedarkan dengan logo Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi dalam risalah tersebut.
Aktivis sosial itu memberitahu bahawa risalah itu mengatakan Bersih adalah golongan pengacau walaupun inkuiri masih lagi berjalan.
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Gerakan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak merancang untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi mahu kuasa rakyat diperkukuhkan, kata ketuanya Datuk Ambiga Sreenevasan.



