Bahasa

Ambil alih Kedah, baru cerita soal MB, kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Datuk Mukhriz Mahathir dilihat mengambil jalan selamat berhubung spekulasi yang mengatakan beliau bakal diletakkan sebagai calon Menteri Besar Kedah Barisan Nasional (BN) dengan mengatakan gabungan pemerintah itu perlu menawan semula Kedah daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya 2013 terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu (gambar) berkata, masih terlalu awal untuk dibincangkan berkenaan calon menteri besar, walaupun pilihan raya umum perlu diadakan tidak lama lagi.

“Terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara itu (pencalonan MB) ... banyak lagi proses, saya pun kena bertanding dulu,” katanya yang ditemui selepas sesi penerangan bersama Balai Ikhtisas Malaysia di sini.

Anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, Kedah perlu ditawan semula oleh BN sebelum perkara itu dibangkitkan kerana ia hanyalah “khabar angin tidak matang” serta berunsur “spekulatif”.

“Kita nak kena menang negeri itu dulu, kemudian baru cakap siapa yang dilantik ... saya khuatir cakap-cakap ini macam tidak matang dan berunsur spekulatif kerana tumpuan kami adalah untuk menangkan negeri itu,” katanya kepada pemberita.

Ditanya peluang gabungan pemerintah itu untuk menawan kembali Kedah, ahli Parlimen Jerlun itu berkata, BN mempunyai peluang yang cerah memandangkan sokongan diperingkat akar umbi jelasnya semakin ketara ke arah BN.

“Peluang itu ada ... saya dengan rendah diri yakin Kedah (BN) boleh menang.

“Kita sedang berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat, dan sokongan akar umbi ada angin perubahan bertiup kencang.

“Kalau dulu beberapa tokoh ulama tidak berapa menyokong BN, tapi sekarang mereka sudah mula mendekati kita,” katanya lagi.

Kajian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Julai 2012 terhadap 10,800 responden mendapati majoriti rakyat Kedah memilih Mukhriz sebagai calon menteri besar dengan 69 peratus menyokong, manakala Ahmad Bashah hanya memperoleh sokongan 12 peratus.

Antara kawasan DUN yang dikatakan bakal ditandingi Mukhriz adalah Ayer Hitam (N03), Seputeh (N04) dan akan kekal bertanding kerusi yang disandangnya kini iaitu di Parlimen Jerlun (P005).

Ketika pilihan raya 2008, BN hanya memenangi 14 daripada 36 kerusi negeri manakala PR pula memenangi 22 kerusi negeri dengan PAS menawan 16 daripada keseluruhan kerusi tersebut.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan hanya 4 sahaja yang dapat dipertahankan oleh BN pada 2008.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.