Bahasa

Anggota Dewan Negara kecam kenyataan Irene Fernandez

May 08, 2012

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Dakwaan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez kononnya Malaysia tidak selamat bagi pekerja Indonesia mengundang kecaman beberapa anggota Dewan Negara hari ini.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu provokasi dan menghina undang-undang negara, mereka turut menggesa kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap Irene.

“Saya setuju kerajaan tahan (Irene) apabila dia pulang ke Malaysia dan saya juga setuju kerajaan harus lihat kembali apa yang berlaku berkaitan rakyat Malaysia di luar negara yang menghina negara,” kata Senator Baharuddin Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada persidangan Dewan Negara di sini.

Kenyataan Irene itu disiarkan ‘The Jakarta Post’ pada Isnin yang mana beliau mendakwa Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia kerana kononnya ia tidak mempunyai rangka kerja mahupun undang-undang khusus untuk melindungi pekerja.

Irene turut mendakwa kerajaan Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang, yang mana kedua-duanya tidak termasuk di bawah dasar kadar gaji minimum sektor swasta.

Baharuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melihat undang-undang bersesuaian bagi tujuan mendakwa mereka yang boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.

Beliau berkata keadaan itu mungkin timbul kerana kerajaan terlalu berlembut dalam berhadapan dengan golongan yang secara rakus mencemar imej negara, termasuk menghina kerajaan dan tanah air di laman-laman blog.

“Ini baru Irene. Dalam blog, kadang-kadang ayat-ayat cacian kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan menteri-menteri terlalu hina mereka olah,” katanya.

Ucapan penuh bersemangat Baharuddin itu turut disambut beberapa anggota Dewan Negara termasuk Senator Norliza Abdul Rahim, Senator Noriah Mahat dan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar.

Mereka bangun mencelah dan mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang menghina negara, termasuk golongan yang menimbulkan huru-hara pada perhimpunan yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lepas.

Mereka juga sepakat bahawa apa yang dilakukan individu berkenaan merupakan tindakan memperlekeh undang-undang dan kedaulatan negara.

Baharuddin berkata kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mereka yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perhimpunan itu.

“Dalam akhbar terpampang gambar anak muda menendang polis yang boleh dikatakan berstatus bapa kepadanya. Apa perasaan kita kalau bapa kita ditendang sedemikian?

“Setiap kali kita ingin perlekeh polis, kena ingat satu perkara iaitu polis terletak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong. Sebab itu dipanggil Polis Diraja Malaysia dan bukannya Polis Malaysia,” tegasnya.

Persidangan dewan disambung esok. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi