Bahasa

Anifah: Malaysia terkejut dengan keganasan tanpa henti Syria

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam kemelut di Syria segera menghentikan pertempuran dan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk berhubung kemanusiaan serta hak asasi manusia.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Kuala Lumpur terkejut dengan keganasan berterusan yang melanda Syria, sehingga menyebabkan orang yang tidak bersalah terkorban selain kerosakan harta benda.

“Tidak syak lagi situasi di Syria adalah serius dan menuntut perhatian segera kita,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar pada perbahasan umum Sidang Kemuncak ke-16 Ketua Negara dan Kerajaan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang berlangsung di Tehran, Iran pada 30 dan 31 Ogos.

Beliau berkata dalam mencari penyelesaian politik yang berkekalan, prinsip asas NAM perlu dipatuhi iaitu membenarkan Syria menentukan nasibnya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Anifah berkata piawaian antarabangsa berhubung hak asasi manusia perlu mengambil kira kepelbagaian budaya di sesebuah negara.

“Kita tidak seharusnya membiarkan orang lain memaksakan nilai serta norma mereka kepada kita.

“Sebaliknya, kita harus memupuk pemahaman, rasa hormat dan penerimaan yang lebih baik terhadap kepelbagaian budaya dalam membentuk piawaian hak asasi manusia,” katanya.

Kenyataan itu juga menyentuh isu seperti Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Palestin selain reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta institusi kewangan antarabangsa. Pada sidang kemuncak itu, jawatan pengerusi NAM diserahkan Mesir kepada Iran.

Di luar sidang itu, Anifah bertemu rakan sejawatan dari Iran dan Myanmar, iaitu Dr Ali Akbar Salehi serta Wunna Maung Lwin, bagi membincangkan isu dua hala.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, inisiatif Malaysia berhubung GMM diterima baik oleh NAM dan perkara itu diterjemahkan dalam Dokumen Muktamad Sidang Kemuncak ke-16 NAM.

Selain itu, sidang turut memperaku Deklarasi Tehran, Pelan Tindakan Tehran 2012-2015, Deklarasi Solidariti Mengenai Palestin dan Deklarasi Tahanan Politik di Palestin. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.