Bahasa

Anifah: Mesyuarat NAM dijangka peraku deklarasi solidarity untuk Palestin

August 05, 2012

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Deklarasi Solidariti untuk Palestin dijangka diperaku Menteri-menteri Luar dalam Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin yang berlangsung di Ramallah, Palestin, hari ini dan esok. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (gambar) mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu. 

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat luar biasa ini menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin,” kata kenyataan itu. 

Presiden Palestin Mahmoud Abbas dijangka menyertai mesyuarat itu yang diadakan bagi menunjukkan sokongan dan solidariti negara anggota NAM terhadap Palestin, selain meninjau dan menilai situasi semasa di wilayah tersebut termasuk peningkatan bilangan penempatan haram dan pencabulan hak rakyat Palestin oleh Israel. 

Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin dianggotai 13 negara iaitu Afrika Selatan, Algeria, Bangladesh, Colombia, Cuba, India, Indonesia, Malaysia, Mesir, Palestin, Senegal, Zambia dan Zimbabwe. 

Mesyuarat berkenaan diadakan susulan cadangan Menteri Luar Palestin Riad Al Malki pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri NAM mengenai Palestin pada 9 Mei lepas, sempena Mesyuarat Peringkat Menteri Biro Penyelarasan Gerakan Negara-Negara Berkecuali yang diadakan di Sharm El Sheikh, Mesir dari 7 hingga 10 Mei lepas. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi