7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Antara Tembok Besar dan Kota Larangan

July 19, 2011
BEIJING, 19 Julai — Kunjungan ke Beijing, China, pasti sahaja dianggap tidak lengkap dan tidak sah tanpa berkunjung ke Tembok Besar China dan Kota Larangan.

Begitu juga bagi Afif Nazmi Zaini, 21, yang menyertai rombongan pelancongan ke Beijing bersama-sama ibu bapa, dua adik dan seorang sepupu.

Afif (bertopi) bersama keluarganya di Kota Larangan, Beijing.
Pelajar jurusan perekaan multimedia di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) itu sangat teruja memandangkan ini kali pertama mereka sekeluarga melancong ke China; khususnya ke dua lokasi penuh sejarah tersebut.

“Kami sekeluarga memang selalu bercuti bersama-sama. Misalnya sebelum ini kami ke Eropah Timur dan Thailand,” kata pemuda itu yang sentiasa menggunakan kamera untuk merakamkan kenangan dalam bentuk visual.

Semasa rombongan pelancongan yang disertainya mendaki Tembok Besar China pada 17 Julai, dia dan sepupunya tidak melepaskan peluang untuk turut menjejakkan kaki pada anak-anak tangga tembok yang dibina seawal abad kelima Sebelum Masehi menerusi Dinasti Qin sehingga Dinasti Ming pada abad ke-16 Masehi.

“Ayah hanya tiba di Beijing pada sebelah petang, jadi tidak dapat turut serta. Emak dan adik-adik juga tidak menaiki Tembok Besar China kerana terlalu muda. Manakala saya dan sepupu saya sempat naik sehingga Paras 4,” kata Afif sambil mengakui bahawa pendakian itu tidak semudah yang disangkakannya selama ini.

Walaupun dia dan sepupunya — sebagaimana hampir kesemua orang yang mendaki Tembok Besar China — tercungap-cungap, Afif tetap belum berpuas hati kerana kekurangan masa untuk mendaki tembok berkenaan yang panjang keseluruhannya adalah hampir 8,852 kilometer.

“Rombongan pelancongan hanya meluangkan masa sekitar sejam di Tembok Besar China dan saya berasa amat rugi kerana gagal berpeluang menikmati kehebatan tembok penuh sejarah itu secara lebih mendalam.

“Saya memang kagum dengan kehebatan penduduk China pada masa silam membina tembok ini walaupun tanpa pelbagai teknologi dan kemudahan serba canggih seperti sekarang,” ujar pemuda itu yang cepat mesra dan senang diajak berbual semasa kami dalam perjalanan dari Hotel Majesty ke Tembok Besar China.

Saya bersama-sama Nurul Fadzillah, Jasmine Koh dan Izan Ali sudah berada di Beijing sejak 12 Julai dan hanya menyertai rombongan sekitar 36 pelancong dari Malaysia pada pagi 16 Julai selepas melakukan aktiviti lawatan dan pengumpulan bahan bagi sebuah buku panduan pelancongan yang sedang kami usahakan atas tajaan syarikat penerbitan One Nusantara Sdn Bhd.

“Tentu seronok kalau dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menghayati keunikan dan sejarah Tembok Besar China supaya kita boleh mengambil pelbagai iktibar daripada kisah silam tamadun besar ini,” Afif berkongsi pandangan bersama saya.

Fakta sejarah menunjukkan bahawa penduduk negara China memang sudah memiliki teknik membina tembok sejak abad kelapan SM.

Dari abad kelima SM sehingga tahun 221 SM, wilayah Wei, Qi, Qin, Yan, Zhongshan dan Zhoa didapati membina tembok masing-masing daripada tanah, batu kecil dan kayu untuk mematahkan serangan musuh di sempadan.

Selepas menjajah kesemua wilayah musuhnya, Qin Shi Huang menyatukan negara China pada tahun 221 SM dan mengasaskan Dinasti Qin.

Atas arahannya, tembok baru dibina untuk mempertahankan empayar baru itu daripada serangan musuh dari utara.

Pembinaan, pemuliharaan dan pemanjangan tembok besar itu dilakukan pada pemerintahan Dinasti Han, Sui dan Jin di mana dianggarkan lebih sejuta penduduk terkorban dalam proses itu.

Semasa pemerintahan Dinasti Ming pula, serangan berterusan tentera Mongolia dan Manchuria memaksa pembinaan tembok yang lebih kukuh dan utuh; terutamanya di sekitar Beijing.

“Dengan mempelajari dan mendalami sejarah Tembok Besar China, kita berpeluang mempelajari, mengenali dan menghayati sejarah negara ini yang semakin mencipta nama pada peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang, khasnya ekonomi,” kata Afif yang ternyata meminati sejarah dan budaya tamadun dunia.

Kunjungan ke Kota Larangan atau Istana Larangan pada 18 Julai juga disifatkan oleh pemuda kelahiran Melaka itu sebagai tidak memenuhi impiannya untuk meneroka sebanyak mungkin ceruk istana bersejarah itu yang menjadi tempat bersemayam maharaja dari zaman Dinasti Ming hingga Dinasti Qing.

“Saya banyak membaca, mendengar serta menonton di televisyen mengenai Istana Larangan, jadi apabila ayah mengemukakan cadangan, saya terus setuju.

“Tambahan, saya sedang bercuti sekarang dan tidak mahu melepaskan peluang turut melawat Forbidden City yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1987,” ujarnya apabila ditanya mengenai kompleks berkenaan yang dibina dari tahun 1404 hingga 1420.

Kota Larangan seluas 720,000 meter persegi itu terdiri daripada 980 bangunan yang mempunyai unjuran 8,707 bilik serta menampilkan ciri pembinaan tradisional China.

Tapak bersejarah itu yang tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara setia hari, turut disenaraikan oleh Unesco sebagai koleksi struktur kayu terbesar di dunia.

Malangnya, atas sebab kekangan waktu, rombongan pelancongan yang kami sertai tidak berpeluang meneroka sepenuhnya serta mendalami pelbagai aspek sejarah dan budaya di sebalik keunikan Istana Larangan dan Tembok Besar China.

Atas sebab itulah juga Afif dan bapanya memutuskan untuk sama-sama pergi semula ke Tembok Besar China pada hari ini. Mereka bercadang mendaki tembok itu lebih tinggi dan jauh berbanding dua hari lalu.

Selain itu, mereka juga mahu merakamkan sebanyak mungkin foto-foto kenangan berkaitan keindahan dan keunikan tembok itu memandangkan mereka sama-sama meminati seni fotografi.

Sementara itu, saya bersama-sama Jasmin, Izan dan Fadzillah pula menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke 798 Art Zone di daerah Chaoyang untuk menikmati, menghayati, mendekati dan meneroka keunikan kesenian urban dan kontemporari golongan seniman di Beijing secara lebih dekat.

Tentu sahaja tempoh sehari tidak mencukupi untuk melakukannya.