Bahasa

Anti-Yahudi: FAM minta maaf kata kesat ‘serang’ pemain Chelsea

July 29, 2011

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta maaf kepada Chelsea hari ini ekoran kenyataan anti-Yahudi yang ditujukan kepada pemain tengah pasukan itu kelahiran Israel Yossi Benayoun ketika pertemuan persahabatan di ibu negara minggu lepas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, FAM tidak mengesahkan sama ada insiden itu terjadi ataupun sebaliknya ketika perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 21 Julai lalu tetapi menegaskan jika benar, ia hanya melibatkan sekumpulan kecil daripada 80,000 penonton yang membanjiri stadium.

“FA Malaysia ingin menegaskan bahawa kami tidak merestui sebarang bentuk sikap perkauman dalam sukan bola sepak,” kata kenyataan itu.

“Jika insiden seumpama itu benar-benar berlaku, kami memohon maaf kepada pemain terbabit dan juga kepada kelab Chelsea,” tambah kenyataan itu.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel.

Chelsea tidak membuat aduan mengenai isu itu dengan segera selepas perlawanan minggu lalu, sebaliknya hanya berbuat demikian kelmarin.

“Kami percaya Yossi (Benayoun) terdedah kepada kata-kata kesat anti-Yahudi oleh beberapa penyokong ketika permainan,” kata Chelsea.

“Tingkah lalu itu menyinggung perasaan, tidak boleh diterima sama sekali dan tiada ruang dalam sukan bola sepak,” katanya. — Reuters

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi