Anwar, Azmin, Badrul Hisham didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara pada 28 April lepas.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan juga pertuduhan kedua, iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiga mereka membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja, di sini, pada hari yang sama.
Mereka merupakan individu pertama didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman yang baru berkuatkuasa tahun ini. Ketiga-tiga mereka duduk di luar kandang kerana merupakan orang kena saman (OKS) dalam kes ini.
Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan berasingan, mereka didakwa menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 2.30 dan 3 petang pada 28 April, di sepanjang Jalan Tun Perak di sini.
Dakwaan itu mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh didenda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan. — Bernama
Menyusul lagi




