Bahasa

Anwar: Hidup mati saya di tangan Allah, bukan Umno-BN

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
March 29, 2011
Latest Update: March 29, 2011 06:01 pm

Anwar Ibrahim berucap pada program Pidato Khas Menangkis Fitnah Jahat di Stadium Melawati, Shah Alam, 28 Mac, 2011. — Foto oleh Choo Choy May   Anwar Ibrahim berucap pada program Pidato Khas Menangkis Fitnah Jahat di Stadium Melawati, Shah Alam, 28 Mac, 2011. — Foto oleh Choo Choy May SHAH ALAM, 29 Mac — Di sebalik serangan moral yang ketiga sejak 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendedahan dibuat “Datuk T” minggu lalu tidak akan sesekali “membunuh” karier politik beliau.

Sebaliknya, tegas Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, hidup dan mati beliau bukan terletak di tangan Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi Allah s.w.t.

“Kalau nak mati, saya mati... bukan mati karier politik.

“Hidup mati saya di tangan Allah bukan Umno-BN . . . belum tentu Umno-BN mampu bertahan tanpa rakyat Malaysia,” katanya pada program solat hajat dan Pidato Khas Menangkis Fitnah Jahat di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Anwar telah menafikan dakwaan terbaru ini dan membuat laporan polis Selasa lalu.

Menurut Ketua Pembangkang ini, tuduhan fitnah terbaru terhadap diri beliau tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang sehingga berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

“Ujian ini tidak melemahkan semangat saya,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini yang dikenakan tuduhan liwat dan salah guna kuasa akhir 1990-an dan kes liwat kedua pada 2008.

Pada September 1998, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Beliau dibebaskan dari penjara akhir 2004 dan menjadi pengikat PKR-PAS-DAP sehingga Pakatan Rakyat dibentuk tiga tahun lalu.

Anwar berkata, “isunya sekarang adalah kerana Pakatan Rakyat nak ambil pemerintahan negara.”

“Jadi apa yang berlaku ini adalah Umno-BN sanggup lakukan apa sahaja, cara yang mungkin mereka jangka akan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat, tetapi rakyat yang mahu menuntut Putrajaya,” katanya lagi.

“Kita yakin kita akan berbicara soal Buku Jingga (Pakatan Rakyat)bukan soal fitnah... bukan lubang . . . bukan najis dan bukan air mani,” kata beliau di hadapan lebih 5,000 orang.
Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Awal minggu lalu negara dikejutkan dengan tindakan “Datuk T” mendedahkan rakaman video seks melibatkan seorang didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat dengan pelacur dari China.

Tiga “Datuk T” yang dimaksudkan ialah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR juga menyifatkan Abdul Rahim sebagai “jaguh baru” yang dipilih Umno-BN untuk menjatuhkan maruah dan imejnya.

“Dia (Abdul Rahim) jaguh baru . . . tokoh akhlak baru yang ditonjolkan Najib dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor)... tokoh moral baru iaitu Rahim Thamby Chik.

“Orang Umno kalau membunuh, tiada tindakan, rogol tutup kes, rasuah tutup kes... jadi saya minta kezaliman ini dihentikan,” katanya.

Beliau juga berkata pendedahan rakaman video seks itu dibuat dengan tujuan untuk memecahbelahkan keluarganya.

Dalam ucapannya itu, Anwar meminta agar barisan kepimpinan dan jentera Pakatan Rakyat tidak memberikan tumpuan terhadap rakaman video seks itu, sebaliknya fokus kepada pilihan raya negeri Sarawak bulan depan.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata peristiwa pendedahan itu yang dibuat Datuk T adalah satu perkara yang “menjijikkan”.

“Sejak satu minggu (lalu) di televisyen, radio dan surat khabar, adalah satu peristwa yang jijik, bagaimana kalau fokus sasaran peristiwa jijik di Carcosa Seri Negara ini adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkinkah peristiwa itu boleh berlaku? Sudah tentu tidak.

“Skuad khas akan sampai dan tidak akan benarkan rakaman tersebut ditonton, ini menunjukkan ‘double standard’ seolah-olah ia adalah satu komplot politik,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur juga mempersoalkan hasil siasatan polis yang sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat walaupun “Datuk T” telah mengakui terlibat dengan pendedahan tersebut.

“Ada kesalahan dan jenayah tapi adakah tangkapan dibuat? Adakah mereka diheret ke mahkamah? Adakah kita akan percaya satu siasatan yang adil akan dibuat,” katanya.

Lim turut mencadangkan agar satu persidangan meja bulat diadakan bagi mencari jalan penyelesaian menghentikan politik “kotor dan jijik”.

“Kita perlu adakan mesyuarat meja bulat, panggil pemimpin BN, pemimpin Pakatan Rakyat, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan persatuan agama untuk kita menamatkan politik kotor dan jijik ini dan langkah pertama yang perlu kita lakukan adalah menangkap Datuk T ini,” tegasnya.



The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi