Bahasa

Anwar: Perhimpunan esok permulaan sebuah pergerakan yang akan digeruni

Oleh Md Izwan

May 07, 2013
Latest Update: May 07, 2013 10:52 pm

Anwar gesa rakyat memakai warna hitam atau apa-apa sahaja berkaitan sebagai tanda bantahan. - Gambar failAnwar gesa rakyat memakai warna hitam atau apa-apa sahaja berkaitan sebagai tanda bantahan. - Gambar fail

PETALING JAYA, 7 Mei — Perhimpunan esok di Stadium Kelana Jaya adalah permulaan kepada satu pergerakan yang akan digeruni untuk membersihkan sistem pilihan raya negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, ia petanda satu lagi episod seperti “Reformasi” pada 1998 bakal berulang.

Anwar dalam sidang media hari ini memberikan amaran keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tampil membuat penjelasan atau berdepan kebangkitan rakyat.

“Ini (perhimpunan) adalah permulaan kepada pergerakan yang akan digeruni untuk membersihkan negara ini daripada salah laku dan penipuan dalam pilihan raya.

“Tidak akan ada perubahan tanpa pilihan raya yang adil dan bersih,” kata Anwar di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Perhimpunan tersebut dirancang akan diadakan esok pada jam 8.30 malam dan ke semua orang ramai yang hadir esok disarankan untuk memakai serba hitam sebagai tanpa berkabung ke atas keputusan pilihan raya umum ke-13 dua hari lepas.

“Pada masa sama, saya gesa rakyat memakai warna hitam atau apa-apa sahaja berkaitan sebagai tanda bantahan,” tambahnya lagi.

Sebaik pengumuman keputusan pilihan raya pada 5 Mei, bantahan semakin kuat ke atas SPR dan kerajaan pemerintah Barisan Nasional kerana didakwa melakukan penipuan disamping salah guna kuasa lain.

Malah di dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter, orang ramai mula meletak gambar peribadi mereka bergelap dan hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan pilihan raya yang memihak kepada BN dengan majoriti kecil.

BN mendapat 133 kerusi Parlimen, majoriti kecil untuk membentuk kerajaan pusat, pada masa sama kehilangan tujuh kerusi pada Pilihan Raya 2013, manakala Pakatan Rakyat (PR) pula mendapat 89 kerusi untuk memperbaiki keputusan mereka pada 2008.

Penipuan dan salah guna kuasa yang menjadi perhatian PR antaranya adalah tentang penggunaan dakwat kekal yang mudah tanggal dan juga isu pengundi hantu, serta pengundi dua kali atau lebih.

Malah, pemimpin PR dan agen calon di pusat penjumlahan undi juga mendedahkan peti undi tambahan yang tiba-tiba dibawa masuk ke dewan pengiraan, dewan tiba-tiba kehilangan bekalan elektrik, beberapa agen parti tidak diberi borang 14 dan lain-lain.

Dalam pada itu, Anwar juga mengumumkan tentang penubuhan sebuah pasukan khas yang akan diketuai Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mengumpul maklumat dan bukti penipuan serta keraguan yang dilapor seluruh negara.

“Pasukan ini akan mencari bukti kukuh terhadap kawasan tertentu yang didapati keputusannya diragui.

“Mereka akan bekerjasama dengan Bersih dan pasukan lain dalam PAS serta DAP,” ujarnya lagi.

Menurut Anwar, terdapat sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen yang mana keputusannya diragui dan mereka akan membuat siasatan serta mencari bukti penipuan, kemudiaan langkah seterusnya akan diambil sama ada akan mengambil tindakan di mahkamah ataupun tidak.

Semalam, Anwar berkata akan mendapatkan sokongan orang ramai untuk memberi tekanan kepada kerajaan BN yang baru dipilih, serta menambah pilihan raya kali ini adalah “penipuan yang paling teruk dalam sejarah” bagi mengekalkan penguasaan kerajaan tersebut di pusat.

Pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 juga berkata mereka tidak akan mengiktiraf kerajaan BN sehingga selesai laporan penipuan undi.

PR memenangi 89 kerusi pada pilihan raya kali ini, ia juga menunjukkan penambahan ketara bilangan kerusi negeri daripada 197 pada 2008 kepada 230.

BN tewas teruk di kebanyakkan kawasan bandar-bandar utama dari George Town, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar-bandar besar di Johor, dimana ia bukti golongan kelas pertengahan dan bandar merupakan kumpulan yang prihatin dengan isu-isu seperti rasuah, kos saran hidup naik dan jenayah.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi