Bahasa

Arti Demokrasi — Aishah

13 JULAI — Demokrasi mempunyai dua aspek, Pertama-tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih kepada sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apalagi bentuk sebuah negara.

Di Eropah pula, ide demokrasi dikembangkan sekularime Niccolo Macheavelli (1469-1527), Negara Kontrak Thomas Hobbes (1588-1679), pengasingan kuasa oleh John Locke (1632-1704) yang kemudiannya disempurnakan Baron de Montesquieu (1689-1755), serta idea kedaulatan rakyat dan kontrak sosial yang diperkenalkan Jean-Jacques Rousseau (1712-1878).

Doughlas Lummis kemudian datang dengan ide demokrasi radikal tentang perlunya meredefinisi demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog. Katanya; “Democracy doesn’t means ‘feeling’ powerful. It means holding real power...Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom”

Proses inilah yang berlaku pada 9 Julai tahun ini. Perhimpunan aman Bersih juga diadakan di 18 buah bandar, mungkin lebih. Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan ‘boneka’ Melayu sahaja, tetapi etnik Cina dan India.

Inilah Malaysia yang rakyat mahukan.

Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang hanya berani cakap-cakap saja. Bersih 2 dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multietnik. Mereka yang dipanggil sebagai ‘bangsa pendatang’, ‘kafir’, dan entah apa lagi tohmahan melindungi muslimin yang sedang melakukan solat dalam hujan tetapi diserang atas arahan parti yang dikatakan membela ‘bangsa’ dan agama.

Di situ, hari itu, cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, ‘bangsa’. Mereka berkongsi agama Cinta, rentas agama, etnik/ kaum, gender; mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri.

Perempuan juga sehebat bilangan lelaki turun ke jalan. OKU perempuan juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan “Hidup Rakyat” “Daulat Tuanku”, dan nyanyian lagu Negaraku.

Unit amal terus mengawal lalu lintas, mereka yang hadir walaupun tidak cukup jari yang mengira, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah gerangannya yang dapat dibodohkan dengan “Bersih 2 tidak mendapat sokongan”?

Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7 dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas. Berita Harian juga tidak terlepas menyebarkan cerita bohong. Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan satu. Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih untuk disampaikan pada anjing-anjing penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning dengan mesej “balloons not bombs”. Media sebagai aparatus kerajaan terus mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan menipu orang ramai. Solidariti yang ditunjuk semalam itu tidak mampu dibeli dengan harga RM200, mungkin hanya dalam perhimpunan Belia di Putrajaya. 907 itu ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami. Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja bangkit melawan.

Walaupun tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Penguasa harusnya menjalankan amanah dan mandat yang telah diberi rakyat. Sebaliknya, melindungi tembolok diri dan anak cucu cicitnya. Benarlah kata Tamrin Gil;

“Kita duduk dalam dunia semacam inilah – dunia bom, dunia khuatir, dunia koyak-rabak. Dan dalam dunia begini orang semuanya terkejar-kejarkan nama, pangkat, kekayaan dan segala kesenangan, mengejar dan mengautnya sendiri-sendiri, menjadi manusia haloba dalam serba-serbi...”

Nota: Tamrin Gil ialah karya A. Samad Said.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.